MELEPASKAN PASANGAN: MEMBELAI EGO ATAU MENJAGA MARUAH?

GLAM Lelaki (Malaysia) - - PANDANGAN TERBUKA - Oleh: Hafiz Hood DISCLAIMER: Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan GLAM Lelaki.

Setiap insan yang bersifat hamba tidak boleh selamanya diselubungi fantasi bahawa kesempurnaan adalah tiang seri sesebuah kehidupan. Terutama dalam epilog cinta. Sejauh mana kudrat dikerah untuk bertahan, harus diingat bahawa hidup kita ada bertuhan, yang pastinya berkuasa menentukan. Sebab itu semasa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berkarya dalam bait- bait lagu alunan Allahyarham Puan Seri Saloma ada diselitkan – “sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri”. Hakikatnya, cinta bukan menjadi sempurna apabila tiada cacat celanya, tetapi kecacatan itulah yang membentuk cinta sempurna.

Fakta yang wajar dicakna masyarakat secara amnya, dan pasangan yang bercinta secara khasnya – pada 7 bulan pertama tahun 2016 sahaja Malaysia mencatatkan sebanyak 48,077 kes perceraian yang direkodkan, menjadikan kita antara negara tertinggi dengan kes perceraian. Fakta ini hanya perolehan angka, dan audit bilangan kasar yang tidak perlukan justifikasi atas apa puncanya. Namun jurang paradigma perlu dianjak kepada satu mesej moral yang jelas: pasangan yang menyemai rasa cinta perlu menerima hakikat bahawa bahagia tidak bererti bersama selamanya. Kalau sudah takdir meledak gelora asmara, sekecil-kecil syiqaq boleh menyirnakan tautan jodoh manusia. Kerana Allah sebaik- baik perancang, dan manusia masih – ya, masih – bersifat hamba.

Mawaddah wa-rahmah dalam sesuatu ikatan – pernikahan atau percintaan – adalah impian yang didambakan. Tetapi yang tertulis di Luh Mahfuz juga tiadalah kuasa untuk kita nafikan. Soalnya apabila cinta sudah tidak mandiri, adakah kita mampu mengangkat satu nilai integriti? Bahawa sebenarnya melepaskan pasangan dengan rendah diri dan percaya jodoh ini ketentuan Ilahi. Stigma masyarakat bahawa cerai adalah tabu perlu diperbetulkan. Di dalam Sunan Abu Daawud meriwayatkan “Perkara halal yang dibenci Allah Ta’ala adalah talaq ( perceraian)”. Cerai tidak pernah menjadi satu dosa – sekiranya asbabnya berlandaskan syariat. Dan adakah menyeksa pasangan dan enggan melepaskan semata kerana ego merupakan satu pahala? Adakah benar kudrat untuk mempertahankan ikatan itu hadir atas dasar mahu menjunjung obor cinta atau sekadar membelai ego dan tidak mahu menyerah kalah?

Seyogia masyarakat perlu memahami bahawa melepaskan pasangan dengan baik bukan bererti tewas di medan peperangan. Jika sekalipun hubungan yang dibina itu dianggap sebagai satu pertaruhan, ada masanya menyerah kalah adalah lebih bermaruah. Pertama, ego manusia tidak luntur sekalipun perlu melepaskan apa yang selama ini dalam genggaman. Kedua, perpisahan dibenarkan oleh syarak sekiranya mudharat lebih besar akan menanti jika hubungan itu diteruskan. Ketiga, titipkan rasa syukur kerana dipinjamkan saat yang pernah membahagiakan, dan redhailah apabila titik noktah pada hubungan telah ditetapkan. Keempat, apalah perlunya mengaibkan pasangan semata-mata kononnya ada ego yang perlu ditegakkan? How low can

you go demi menegakkan benang yang basah tatkala semua picis cinta telah dinoda? Kelima, maruah kedua- dua pasangan adalah lebih terbela andai hati redha melepaskan ikatan itu kerana percaya ada hikmah di sebalik ujian Ilahi. Sebab itu kadangkala pelangi yang berwarna-warni hanya hadir selepas dentum guruh yang hitam kelam. Tidak; tiada manusia yang pernah tahu citrawarna kebahagiaan yang mana satu menanti di hadapan.

Sebab itu kesempurnaan dalam percintaan adalah falasi. Dongeng ini boleh dihentikan – apabila masanya telah tiba, kita redha melepaskan. Tiada gugusan ego, hatta secangkir maruah perlu diperjuangkan kalau hati tenang merelakan. Dan biarkan ia pergi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.