Konotasi Hijrah Bukan Sekadar Perpindahan

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - Oleh: Hafiz Hood

Nadi sebuah komuniti yang mapan adalah ketamadunan – yakni betapa civilised setiap individu yang bersilang tari dan mencakna interaksi harmoni kehidupan bermasyarakat. Untuk mencipta ketamadunan, sesuatu bangsa perlu melakukan perubahan. Ya, perubahan daripada satu nuansa kepada satu keadaan lain yang menjanjikan hadiah kebaikan untuk semua. Sebab itu setiap daripada kita bertanggungjawab untuk berhijrah. Hijrah jangan disempitkan pada susunan konsonan dan vokal sahaja yang membawa interpretasi perpindahan. Tetapi paradigma hijrah perlu dilihat dari perspektif lebih besar iaitu melakukan sesuatu perubahan kepada diri dan masyarakat.

Konsep hijrah yang dicerna umum adalah perpindahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah yang membawa kepada pembukaan kota Madinah. Dan dari situ konsep hijrah mula difahami dan diadaptasi. Kejayaan hijrah dalam sejarah tamadun Islam adalah satu sifat truistik yang tidak perlu dibincangkan. Konsep hijrah dan asimilasi budaya terus menjadi teras ketamadunan hingga memacu kejayaan di zaman Mesir Purba, zaman Yunani dan zaman Mesopotamia. Namun dalam konteks masyarakat madani, persoalan pokok yang wajar diangkat adalah sejauh mana kita berjiwa hijrah? Setinggi mana akal dan nafsu setiap daripada kita boleh digunakan untuk membawa perubahan yang lebih baik dalam kehidupan kita?

Berjiwa hijrah adalah persoalan memperbaiki kelemahan. Berjiwa hijrah adalah tentang mengubah sikap tidak kisah kepada ambil peduli tentang persekitaran. Berjiwa hijrah adalah tentang menukar

mind-set bahawa setiap daripada kita sebenarnya berperanan dalam memartabatkan tamadun dan Negara. Sebab itu sekecil-kecil hijrah juga penting kepada setiap sisi masyarakat. Kalau dulu kita tidak peduli melihat sampah dibuang bercempera, berjiwa hijrah adalah apabila kini kita mengutip sampah di depan mata. Kalau dulu kita pandang enteng si buta yang teraba-raba di jalan raya, berjiwa hijrah adalah apabila kini kita memimpin tangan mereka.

Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016 mencatatkan penurunan keseluruhan 47% kadar jenayah di Malaysia daripada tahun 2010 sehingga tahun 2016. Apa indikasi fakta ini untuk dilemparkan kepada kita? Kerana kesedaran yang tinggi pada masyarakat untuk menggembeling tenaga memacu perubahan dan melaporkan kegiatan jenayah kepada pihak berkuasa mampu untuk memastikan masyarakat kita hidup dalam persekitaran yang boleh dianggap sebagai syurga dunia. Hanya dengan berjiwa hijrah masyarakat akan mengubah minda untuk lebih berpada-pada dan berjaga-jaga demi keselamatan negara. Saban hari dalam menjalani kehidupan moden ini,

pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri ‘What have I done to my

community?’ Persoalan ini penting kerana nukleus yang mendasari molekul keamanan sejagat juga adalah kesempurnaan sesuatu tindak balas dalam kehidupan berkelompok. Dan tindak balas itu hadir daripada dalam diri setiap individu dalam komuniti. Sebab itu semua daripada kita perlu berjiwa hijrah.

Tuntasnya, hijrah bukan hanya sekadar perpindahan. Hijrah ini hadir dalam hati. Hijrah lahir atas kesedaran diri. Hijrah adalah satu modus

operandi kepada kesedaran wujudnya tanggungjawab memajukan nusa dan bangsa tanpa sangsi. Berjiwa hijrah tidak susah. Anda hanya perlu berubah. Berikan tempat duduk kepada yang memerlukan, membantu golongan yang serba kekurangan, berwaspada dengan jenayah di persekitaran, sentiasa melaporkan sekiranya ada pen yumbanglewengan, menjaga infrastruktur yang disediakan – ini semua tatacara manusia yang berjiwa hijrah. Kerana tanggungjawab untuk mengubah sesuatu tamadun itu ada dalam diri setiap insan. Maka adalah menjadi kewajipan untuk kita berhijrah ke arah kebaikan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.