Kata editor

Protect Our Women

GLAM Lelaki (Malaysia) - - Contents -

Bulan lalu, tersebar satu video menunjukkan seorang lelaki Muslim menampar seorang wanita Muslim yang tidak dikenalinya di sebuah perhentian bas, atas sebab wanita tersebut tidak memakai tudung. Sigh. Begitu mudah hak asasi seorang perempuan dicabuli sesuka hati saja.

Aku tertanya. Sekiranya berhadapan dengan lelaki Muslim lain yang memakai seluar pendek, tidak menutup aurat, berani tak lelaki dalam video itu menamparnya? Atau adakah dia hanya mengasari golongan yang dianggap lemah untuk melawan? Itu buli namanya. Kalau pun ikhlas mahu menegakkan hukum agama, adakah begini ajaran yang diturunkan oleh Rasulullah s.a.w.? Untuk menjatuhkan air muka, membuka aib orang di khalayak ramai?

Berikutan kempen global #MeToo dan #TimesUp (ms. 78), insiden ini menjadi satu lagi contoh budaya patriarki yang sering mendiskriminasikan wanita dalam era yang sepatutnya serba moden dan lebih bertamadun ini. Masalah budaya kita kini bukannya pada wanita, tapi pada lelaki. Di Malaysia, dalam arena politik, wanita sering diperlekehkan, hingga di dalam Parlimen pun kitaran haid wanita dijadikan gurauan. Tahun lalu, Ahli Parlimen turut menyarankan agar mangsa kes rogol – yang semuda 12 tahun – mengahwini perogol mereka agar hidup mereka lebih terpelihara. Seriously? Bagaimana pula dengan kes sumbang mahram (ms. 112)? Satu insiden lagi, pabila seorang perempuan muda bertanya seorang menteri apakah cadangannya untuk mengurangkan jenayah di kawasan awam, menteri tersebut mencadangkan agar wanita itu berpakaian comot untuk tampak hodoh agar tidak menjadi sasaran penjenayah lelaki. Sigh.

Again, masalah kita kini bukannya pada wanita, tapi pada lelaki. Pandangan seksis, misoginis, tiada tempatnya dalam era ini. Sebagai lelaki, pabila melihat lelaki lain mengasari, mencabuli, membuli, memperkecilkan seorang wanita, take action. Lindungi wanita itu, jaga maruahnya sebagaimana kita sanggup membela ibu, isteri, adik atau anak perempuan kita sendiri. Be a better man, be a better human being.

Masalah budaya kita kini bukannya pada wanita, tapi pada lelaki. Pandangan seksis, misoginis, tiada tempatnya dalam era ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.