FESYEN & POLITIK

GLAM Lelaki (Malaysia) - - KATA EDITOR - GL

Tolak ke tepi pegangan politik masingmasing, Pilihanraya Umum Ke-14 telah membawa satu kelainan yang besar di kalangan rakyat Malaysia. Yang aku maksudkan bukanlah terlantiknya satu kerajaan baru, sungguhpun signifikasi realiti itu mustahil untuk dihiraukan. Yang aku maksudkan ialah minat kita terhadap isu politik. Dalam sfera sosial yang sudah biasa berbicara hal fesyen, dunia selebriti dan berita hiburan, tiba-tiba topik politik menjadi fokus utama setiap warga Malaysia. Mereka yang tak pernah ‘ambil pot’ tentang desas- desus politik sebelum ini pun tiba-tiba punya pendapat yang mahu dikongsi bersama.

Which is a great thing. Secara ideal, kita patut tahu siapa wakil rakyat kita dan apa manifesto mereka. Sebab tindak-tanduk mereka akan mempengaruhi hidup kita secara langsung. Tapi, yang lebih mustahak lagi lantaran PRU14 yang lalu, rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa kuasa pentadbiran sesuatu negara jatuh di tangan pengundi. Bukan pemimpin. Memetik katakata mendiang Presiden Abraham Lincoln, “Demokrasi ialah kerajaan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.” Jelaslah kali ini, ungkapan ‘every vote counts’ bergema dengan begitu nyaring sekali dengan penuh makna.

PRU14 kali ini juga mendedahkan kita kepada wajah-wajah baru barisan kepimpinan negara. Antara yang paling menyerlah ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang asalnya muncul dalam halaman GL dua tahun yang lalu. Dulu sebagai pendebat nombor satu Asia, kini sebagai YB pula

(ms. 62). Dan jangan fikirkan politik tak ada tempatnya dalam dunia fesyen – hubungan fesyen dan politik sudah tertanam sejak abad ke-19 lagi, kalau tak pun jauh lebih awal daripada itu (ms. 76).

Aku ingat lagi satu ucapan yang pernah disampaikan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak dulu. Berbicara tentang pilihanraya dan wakil rakyat, Tok Nan berkata, di dalam kerajaan ada ahli politik yang baik, dan ada yang tidak. Di kalangan pembangkang juga ada yang baik, ada yang tidak. Tidak ada parti politik yang seratusperatus sempurna, setiap satu punya kelemahannya. Menjadi tanggungjawab kita untuk menaikkan yang baik, dan berpesan kepada yang tidak agar mereka terima kelemahan yang wujud dan berusaha untuk memperbaikinya, demi rakyat. Sudah pastinya pesanan itu boleh diaplikasikan dalam hidup kita secara total. Yang baik kita teruskan, yang kurang baik, do something about it.

“DI DALAM KERAJAAN ADA AHLI POLITIK YANG BAIK, DAN ADA YANG TIDAK. DI KALANGAN PEMBANGKANG JUGA ADA YANG BAIK, ADA YANG TIDAK.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.