interprestasi memori indah

CITRA HARUMAN IMITATION DIOLAH HASIL INGATAN PENGARAH KREATIF AMOUAGE YANG BERSELUBUNG KESENIAN KOTA RAYA NEW YORK. CHRISTOPHER CHONG MENYIFATKANNYA SEBAGAI WARNA-WARNI KEHIDUPAN YANG PEKAT DENGAN KEPELBAGAIAN BUDAYA LEWAT TAHUN ‘70-AN.

GLAM Lelaki (Malaysia) - - HOROLOGI -

aruman mewah Imitation merupakan babak keempat dalam kitaran kedua naratif Amouage. Hasil eksplorasi personal Christopher Chong di kota raya metropolitan yang padat ini menjadi tajuk bicara aromanya. Imitation diilhamkan oleh kenangan manis zaman kanak-kanak

Chong serta pengalaman pertamanya kala menjejakkan kaki di satu teritori dipenuhi grafiti, biasan cahaya lampu neon juga kepelbagaian budaya. Langsung, melenturkan kefahaman dan caranya untuk melihat juga memahami seni pada era ini. “Imitation adalah satu sorotan peribadi yang menceritakan bagaimana satu detik dan satu pengalaman boleh mengubah persepsi seorang kanak-kanak terhadap dunia. Tukang ceritanya ialah saya kala menceritakan pengalaman berbekalkan memori sewaktu kecil,” kata Chong. “Antaranya saat melihat salji buat pertama kali di New York juga waktu menyusuri Lower East Side yang dipenuhi warna-warni kehidupan sambil menghirup atmosfera pekat dengan penyatuan budaya Latin dan Asia. Saya juga berpeluang menyaksikan komuniti seniman yang hidup dalam satu era lalu menjadikan mereka semua ikon seni hari ini.” Imitation untuk lelaki adalah hasil sentuhan chypre dan kulit yang menggambarkan era keberanian dan kebebasan. Cedrat dan campuran rempah ratus misteri menjadi pembuka tirai wangian bagi menghidupkan semula rona yang berbilang budaya jalanan. Kelembutan baldu dan vinil diserlahkan dengan sentuhan bunga violet dan orris, membentuk keharuman yang melambangkan mood dan pesona era disko. Bagi mencipta aroma smoky, haruman asas kulit dan vetiver diperkukuh oleh keharuman patchouli dan myrrh membawa energi berani era yang membudayakan kelakuan naluriah lalu berdakapan mesra dengan komuniti seniman. Botol haruman Imitation Man berisi 100ml EDP berharga RM1,145. Boleh didapati di kesemua gedung Amouage tanah air.

“MENCERITAKAN BAGAIMANA SATU DETIK DAN SATU PENGALAMAN BOLEH MENGUBAH PERSEPSI SEORANG KANAK-KANAK TERHADAP DUNIA. ”

Teks: Zuhairie Sahrom Gambar: Amouage

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.