Syed Saddiq

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI -

apakah yang sanggup anda korbankan demi tanah air tercinta? Bagi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 25, soalan itu terjawab pada akhir tahun lalu. Tanggal 2 Oktober 2017, Syed Saddiq telah membuat sidang akhbar untuk mengumumkan keputusannya untuk menolak tawaran biasiswa lantas menangguhkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana bagi bidang Dasar Awam di Universiti Oxford.

Semestinya bagi mana-mana cendekiawan, Oxford is the dream. Dan tanpa diduga, selesai sahaja temu bual GL bersama Syed Saddiq untuk rencana ini, pada petangnya tokoh muda ini menerima tawaran biasiswa kedua pula daripada Universiti Oxford untuk pendidikan peringkat Masters in Public Policy. Dan sekali lagi, Syed Saddiq terpaksa menolak peluang tersebut.

“Memang saya teringin sangat nak ke Oxford,” akui Syed Saddiq kepada GL. “Itu salah satu daripada impian saya sejak kecil lagi.

Dan sememangnya setiap bulan November saya akan ke sana untuk mengajar debat. Jadi dulu saya pun fikir, okey, sudah tiba masanya saya belajar di situ dan harumkan nama negara di situ. Juga, memandangkan ibu saya seorang guru, sudah tentu menghantar anaknya ke Oxford ialah impiannya. Dan memenuhi impian ibu pula ialah impian saya.”

Namun, biarpun pahit untuk ditelan Syed Saddiq terpaksa melepaskan impian emas itu demi meneruskan perjuangan politiknya. (“It was one of the hardest decisions I ever had to make in my life.”)

Di sidang akhbar yang sama, Syed Saddiq yang merangkap Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan antara suara lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, turut mendedahkan punca keputusannya melepaskan tawaran Oxford ialah satu konspirasi yang cuba mengeluarkannya daripada PPBM. Yang melibatkan sogokan bernilai RM5 juta juga peruntukan membuka sekolah debat di seluruh negara.

“Saya ingat lagi masa tu,” Syed Saddiq menyambung cerita, “kedua-dua orang tua saya diugut, terutamanya ayah dan juga abang saya. Ada pihak-pihak tak bertanggungjawab yang mahukan saya berambus (ke Oxford) dan meninggalkan arena politik negara. Dari situ saya nampak, betapa sistemiknya budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Malaysia. Jadi saya pun bagaikan terpanggil untuk kekal bersama rakyat Malaysia untuk fight the hard battle out. Biarpun ada pihak yang menganggap pengorbanan itu tak berbaloi, that it’s a lost cause dan jika saya kalah, saya akan hilang segala-galanya… But look at where we are today!”

Seperti yang ramai sudah sedia maklum, pada Mei lalu, Syed Saddiq bersama Pakatan Harapan – yang dianggotai PPBM, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) – telah berjaya menumpaskan Barisan Nasional semasa Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), dengan kemenangan 122 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Boleh disimpulkan, ia sesuatu yang tidak dijangka. Maka, buat pertama kali dalam sejarah sejak kemerdekaan negara, kerajaan Malaysia bukanlah kerajaan Barisan Nasional.

“Dan kita tiba di sini bukan sebab saya seorang,” jelas Syed Saddiq. “Tapi kerana usaha rakyat Malaysia yang murah hati, yang menderma 5 ringgit, 10 ringgit untuk kempen kami, dan rela pergi dari pintu ke pintu untuk sama-sama berkempen. Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif. Bersatu padu bernaung di bawah payung Malaysia, berjuang demi masa depan yang lebih baik.”

“Jadi, sungguhpun pedih untuk menolak Oxford, warga-warga Malaysia telah menjadi inspirasi saya untuk teruskan perjuangan.”

DARI PENTAS DEBAT KE PENTAS POLITIK

Lantaran Pilihanraya Umum ke-14, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini telah dilantik oleh rakyat untuk menjadi Ahli Parlimen Muar. Dan bukan mudah hidup sebagai seorang Ahli Parlimen. Tambahan lagi bagi kerajaan baru yang belum pernah mentadbir negara sebelum ini. Membahagikan masanya di antara ibu kota dan Muar, dengan komitmen terhadap konstituensi juga parlimen baru, tak hairanlah jadual Syed Saddiq kini cukup padat.

Sesi penggambaran yang asalnya sudah kami jadualkan pada hari Isnin, 11 pagi terpaksa diawalkan kepada jam 8 pagi pula. Kerana Syed Saddiq terpaksa bergegas ke mesyuarat yang baru dirancang malam sebelumnya. Maksudnya, kami cuma ada dua setengah jam untuk menyiapkan sesi fotografi cover story ini. Mujurlah, YB muda ini cukup mesra, sporting dan amat profesional dalam menurut permintaan kru GL. Lagipun, ini bukanlah kali pertama GL melamar Syed Saddiq.

Dilahirkan pada 6 Disember 1992 di Johor Bahru, anak bongsu daripada empat beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Perling dan Maktab Sultan Abu Bakar (English College) di Johor Bahru sebelum menyertai Maktab Tentera Diraja (RMC) selama dua tahun.

Punya karisma, disiplin dan bakat berbahas, tahun 2016 merupakan kali pertama wajah Syed Saddiq

dipaparkan dalam halaman GL, pabila graduan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini dinobatkan sebagai pendebat terbaik Asia di Kejohanan Debat Asia Bersatu (UADC). Biarpun belum menamatkan pengajiannya ketika itu, Syed Saddiq sudah kuat bekerja, mendukung lima kerja sampingan sambil belajar. Di antaranya selaku pensyarah sambilan dalam subjek pengucapan awam, pelatih debat untuk pelajar-pelajar UIAM dan juga sebagai penyelidik di Bait Al-Amanah, satu badan pemikir yang bebas dan berkecuali berpangkalan di Johor yang punya tanggungjawab untuk menjalankan kajian berkaitan demokrasi, politik dan isu-isu kepentingan negara. Termasuk merekayasa dasar sedia ada dan meneroka dasar baru selari dengan perjuangan orang Melayu pasca moden.

Menurut Syed Saddiq, dia memang punya minat mendalam terhadap dasar awam dan asalnya menanam harapan untuk bekerja dengan menteri-menteri dan ahli-ahli politik lain, selaku pegawai yang membuat kerja-kerja penyelidikan di belakang tabir untuk mereka yang berada di barisan depan. “Dari dulu lagi saya berminat untuk menjadi public policy enthusiast. Antara impian saya adalah untuk mengasas think-tank saya sendiri – umpama IDEAS, iaitu Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi – yang berperanan menasihati penggubal dasar awam baik dari kerajaan mahupun pihak pembangkang mengenai cara untuk memajukan lagi masa depan Malaysia.” Selain khidmatnya selaku perunding dan penyelidik dasar-dasar awam untuk kerajaan negeri Johor, kira-kira empat tahun yang lalu Syed Saddiq juga pernah bekerja untuk YB Nancy Shukri (yakni Menteri di Jabatan Perdana Menteri) selaku Pegawai Khas.

Namun, lebih kurang dua setengah tahun yang lepas, berikutan kelantangannya mengkritik pentadbiran kerajan Barisan Nasional, Syed Saddiq telah dipecatkan daripada jawatannya sebagai pensyarah di UIAM dan selaku penyelidik di Bait Al-Amanah. “Sehinggakan pelajar-pelajar saya turut terancam akibat keberanian saya berhujah,” sambung Syed Saddiq. “Keadaan itulah yang mendorong saya untuk memasuki arena politik. Kerana saya teringat kembali pengalaman zaman belajar saya dulu, saya sedar bahawa perlu adanya perubahan pada sistem kita. Dan perubahan itu haruslah menyeluruh, ia bukan tentang menukarkan seorang individu sahaja. Kita memerlukan lebih ramai ahli politik yang baik hati yang betul-betul kisah akan proses pembangunan bangsa untuk membentuk masa depan baru untuk Malaysia.”

Keputusan Syed Saddiq untuk menceburi bidang politik itu hadir dengan sokongan juga bidasan. Disebabkan usianya yang muda dan pengalaman yang dikira masih mentah dalam arena politik, ramai pengkritik – baik pesaing politik lain mahupun komuniti pahlawan papan kunci – mempersoalkan kemampuan Syed Saddiq untuk memimpin. Namun, hakikatnya, Syed Saddiq bukanlah amat ‘hijau’ dalam hal-ehwal politik atau kepimpinan. Bukankah pengalamannya di RMC juga di arena pertandingan debat antarabangsa punya peranan dalam pembentukannya sebagai seorang wakil rakyat?

“Oh, definitely,” jawab tokoh muda ini. “Semestinya peranan amat besar! RMC telah menyemaikan semangat nasionalisme yang kuat dalam diri saya, bahawa tanahair kita harus didahulukan and we are merely servants to the people. Pegangan itu amat saya hargai. Kerana apa yang saya lakukan hari ini ialah fasal nasionalisme – berkhidmat demi rakyat. Pada masa yang sama, RMC juga mengajar saya ketabahan. Tak kira betapa sakit dan besar dugaan yang menimpa, kita perlu teruskan jua demi negara.”

Penglibatannya dalam dunia perbahasan kompetitif pula mempengaruhi perkembangan mindanya. “Perdebatan mengajar saya pemikiran secara kritis. Dan debat itu bukan sekadar berhujah mengenai perubahan dan reformasi di dalam kepompong debat itu sendiri. Namun idealismenya harus dibawa keluar dari dewan debat, melalui pembentukan dasar-dasar and other fields of change.”

SEMANGAT ANAK MUDA

Hujah yang mempertikaikan kemampuan Syed Saddiq untuk memimpin dek usianya yang baru 25 tahun (sehingga ada yang melabelkannya ‘budak hingusan’) boleh dikatakan tidak berasas. Jika dikaji, ini bukanlah kali pertama tokoh di bawah usia 30 tahun berjaya menyandang jawatan Ahli Parlimen: Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memenangi kerusi Parlimen Pekan buat pertama kali pada usia 23 tahun (1976).

Seperkara lagi, mempersoalkan kewibawaan seseorang pemimpin kerana usia yang muda juga bermaksud kita mempersoalkan kematangan dan kebolehan generasi muda secara menyeluruh. Malah, sikap memandang rendah kemampuan dan, terutama sekali, pengaruh generasi belia ini mungkin antara punca utama Pilihanraya Umum

“Saya ingat lagi masa tu, kedua-dua orang tua saya diugut. Ada pihakpihak tak bertanggungjawab yang mahukan saya meninggalkan arena politik negara. Dari situ saya nampak, betapa sistemiknya budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Malaysia.”

ke-14 berpihak pada Pakatan Harapan.

Di penghujung tahun lepas, beberapa kajian mendapati golongan belia di Malaysia semakin kecewa lantas tidak berminat dengan landskap politik negara. Dikatakan juga ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi dan diramalkan yang sudah berdaftar pun tiada niat untuk membuang undi. Sebagai Ketua Belia (Armada) PPBM yang berurusan dan berinteraksi dengan golongan muda secara dekat, Syed Saddiq menyangkal konklusi kajiankajian tersebut.

“Kajian-kajian itu salah dan PRU14 sudah pun menjadi buktinya,” Syed Saddiq mengemukankan hujah. “Seingat saya kajian itu juga menyatakan golongan muda tidak akan muncul untuk membuang undi kerana mereka tak ambil peduli tentang politik. Tapi bila kita kaji keputusan pilihanraya, young people turned up in droves! Mereka mencatat turnout pengundi tertinggi dalam sejarah Malaysia – lebih kurang 41 peratus jumlah keseluruhan undi datangnya daripada golongan muda!”

Syed Saddiq yakin golongan muda inilah yang menjadi penentu keputusan PRU14. “Salah satu sebab utama kenapa kita mengalami perubahan kerajaan buat kali pertama ialah kerana kerajaan Pakatan Harapan memenangi hampir kesemua saluran anak muda iaitu saluran 3, 4, 5 dan 6. Dan kami menang dengan majoriti yang besar. Maksudnya, generasi anak muda telah membolehkan kami mencipta sejarah ini. Anak muda adalah sumber inspirasi kami. Biarpun mereka senyap dan kurang bersuara, they are the true silent killers. Diamdiam tapi bila bertindak, mereka mampu membawa perubahan.”

Isu kurangnya wakil parlimen dari generasi belia menjadi topik perbincangan meluas menjelang PRU14. Dalam pentadbiran sebelum ini, lebih 70 peratus daripada Ahli Parlimen berumur 50 tahun ke atas, dengan purata usia mereka 53 tahun. Hanya 22 daripada 222 kerusi parlimen diduduki wakil dalam lingkungan umur 30-an.

Jelaslah wujudnya keperluan signifikan untuk pemimpin kategori belia (40 tahun ke bawah) dalam Parlimen. Mungkinkah Syed Saddiq boleh cadangkan cara-cara untuk menggalakkan generasi belia kini berkecimpung dalam bidang politik, seperti dirinya sendiri?

“Pertama sekali, kita perlu runtuhkan the walls of fear yang mengelak orang muda daripada melibatkan diri dalam politik. Sebelum ini, sekiranya golongan muda berbincang fasal politik atau menghadiri perhimpunan politik di universiti, tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka. Jadi wujud rasa takut di kalangan mereka. Kita perlu hapuskan struktur itu dan kami telah pun mula merubah struktur sebegitu untuk menggalakkan anak muda untuk bersuara dan mengambil bahagian dalam proses menjana perubahan.”

“Yang keduanya, kita perlu wujudkan lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan muda untuk memimpin dalam jawatan parti dan struktur kerajaan. Bukan setakat di Parlimen, tapi juga di peringkat exco negeri, ahli majlis, PBT (Pihak Berkuasa Tempatan)... agar setiap lapisan decisionmaking itu punya wakil generasi muda. Pabila suara mereka diwakili dan didengari, maka lebih ramailah belia yang akan berminat untuk menyertai politik untuk menjadi mangkin perubahan.”

Dan sekiranya ada golongan muda yang kini berminat untuk menceburi bidang politik, Syed Saddiq sarankan agar mereka kenal pasti dahulu isu yang menarik minat mereka. “Ketahui dulu isu yang dekat pada diri kamu dan perjuangkan habishabisan, sama ada melalui sebuah NGO, parti politik atau berkhidmat sebagai individu bukan kerajaan (non-governmental individual).”

Dan jangan tak tahu, Syed Saddiq sendiri pun bermula daripada kosong. “Semasa saya mula-mula dulu, I had nothing. Saya dikucilkan daripada kerajaan yang memerintah, hilang kerja, dan tiada pula hubungan politik dengan sesiapa pun kerana keluarga saya tiada pertalian politik. Jadi saya pun tulis satu surat terbuka dan mula berjumpa 24 tokoh muda yang lain, lalu sama-sama kami asaskan sebuah NGO, yakni Challenger – Change Led by the Young Generation. Dan dari situ, kami menjadi sebahagian daripada sejarah tanah air,” kongsi Syed Saddiq.

Melalui Challenger, Syed Saddiq bersama rakan-rakannya menganjurkan satu acara Citizen’s Declaration yang memohon perletakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang mengenai pembentukan parti baru, yang kemudiannya menjadi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). “Yang penting, find something that you believe in. Fight for it. Because anything is possible.”

WAKIL RAKYAT

Jujurnya, Syed Saddiq bukan sahaja kian menjadi perhatian umum kerana kebijaksanaan dan kelantangannya mengkritik dan mengeluarkan pendapat, juga kemesraannya mendekati konstituensi dan penyokongpenyokongnya. Sebagaimana Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq semakin mendapat tempat di mata umum kerana keterampilan dan keperibadiannya. Usianya yang muda memudahkan golongan belia untuk relate dengan dirinya kerana sfera hidupnya tidak banyak beza dengan mereka, jika mahu dibandingkan dengan ahli

“Pabila suara mereka diwakili dan didengari, maka lebih ramailah belia yang akan berminat untuk menyertai politik untuk menjadi mangkin perubahan.”

politik yang dalam lingkungan usia 50-an, misalnya.

And yes, he has the looks. Tinggi dan kacak, cukup mudah untuk GL menata gaya dirinya dalam helaian-helaian mewah dalam penggambaran ini. Mahu tak mahu, hidup sebagai ahli politik tak banyak bedanya dengan hidup seorang selebriti yang gerak-gerinya sentiasa diperhatikan dan semestinya, menjadi sasaran pengawasan dan kritikan. Is he comfortable being in the public eye?

“I’ve accepted that part of being a politician,” luahnya, jujur. “Cara terbaik untuk berdepan dengan kritikan ialah untuk menerimanya dengan hati terbuka dan ubahkan ia menjadi

sesuatu yang membina, and move forward. Dan sekiranya saya ‘down’ atau tersinggung, saya akan ‘adjust’ semula fikiran dan fokus saya kembali kepada sebab asal saya memilih kerjaya ini.” Menurut Syed Saddiq, selagi dia ingat pada motivasi asalnya menceburi politik, in shaa Allah dia tidak akan terpesong daripada matlamat asalnya itu.

Tapi kita pun tahu dunia politik itu bermacam-macam dugaannya. Ada sebab mengapa ramai beranggapan arena politik itu ‘kotor’. Apa yang boleh dibuat agar Syed Saddiq akan sentiasa berlaku jujur dan adil pada rakyat? Dia tak perlu berfikir panjang memberi jawapan, “First things first, sebagai ahli politik, kita perlu pastikan bahawa diri kita ini amanah dan tidak mudah makan suap. Saya yakin, ingatkan semula kenapa kita menceburi politik, dan jangan mudah melencong demi wang, peruntukan mahupun kemewahan.”

“Tapi pada masa yang sama, wujudkan mekanisme semak sendiri (self-checking) yang boleh mencegah berlakunya korupsi dan salah guna kuasa. Misalnya, pastikan institusi untuk tadbir urus dan demokrasi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), media dan sebagainya adalah bebas. Supaya kita menjadi takut untuk mengambil rasuah kerana bimbang akan ditangkap dan dihukum, tanpa langganan istimewa. Ini termasuk pengisytiharaan harta barisan Menteri, Timbalan Menteri dan semua Ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan, di mana saya antara penyokong kuat inisiatif ini.”

Yang menarik lagi, Syed Saddiq juga berpendapat pihak pembangkang memegang peranan penting dalam membanteras rasuah. “Selagi kita berada di dalam politik, kita harus pastikan adanya pembangkang yang kuat. Dan rakyat turut terasa berkuasa untuk melawan ahli-ahli politik yang korup, tak kira latar belakang politik dan parti masing-masing. Dengan cara-cara sebegini, kami yang memerintah akan mejadi lebih bertanggungjawab.”

Berbicara fasal tanggungjawab, selaku wakil rakyat untuk konstituensi Muar, sudah tentu Syed Saddiq punya berbagai-bagai rancangan yang ingin dilaksanakan untuk membangunkan daerah Muar. Tapi jika boleh disimpulkan kepada satu, apakah misi utamanya untuk Muar? “Secara amnya, saya rasa wujud satu vakum berkaitan pembangunan di bahagian utara Johor,” Syed Saddiq menerangkan visinya. “Di bahagian selatan, kita ada Johor Bahru. Dan bila Johor Bahru dibangunkan, konstituensi di sekelilingnya seperti Tebrau, Pasir Gudang, Pulai, turut dimajukan. Sebab inilah bahagian selatan Johor mengalami pembangunan yang pantas.”

Maka, harapan Syed Saddiq adalah untuk menjadikan Muar pemangkin pembangunan di kawasan utara Johor. “Muar adalah bandar bersejarah. Antara pemimpin-pemimpin terkemuka negara berasal dari Muar, termasuk hampir kesemua Menteri Besar Johor dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi, Muar punya potensi besar. Saya mahu bawa masuk pelaburan, pekerjaan kualiti tinggi untuk menjadikan Muar pusat pembangunan bahagian utara Johor. Semoga bila Muar dimajukan, daerah-daerah jiran seperti Bakri, Pagoh, dan Tangkak misalnya, akan turut membangun.”

Kini kita masih berada di awal jangka khidmat Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen. Sudah sebulan lebih sejak PRU14 berakhir dan di masa rencana ini ditulis, kabinet penuh kerajaan Pakatan Harapan pun belum lagi dibentangkan. Namun ramai yang menyangkakan Syed Saddiq bakal menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan. Malah, melalui platform Twitter, dalam satu tanda muafakat bekas menteri portfolio tersebut, Khairy Jamaluddin, menyatakan beliau sudah pun bersedia untuk menyerahkan amanah Kementerian Belia dan Sukan kepada Syed Saddiq.

Pun begitu, Syed Saddiq mengakui hajatnya memasuki politik bukanlah untuk menjadi menteri atau mendapat jawatan dalam kabinet Malaysia. Selain daripada pembangunan Muar, Syed Saddiq tetap meletakkan dirinya sebagai penyokong utama dalam memartabatkan pendapat serta suara anak muda.

Namun, bagaimana pula dengan jawatan Perdana Menteri? Bolehkah Syed Saddiq melihat dirinya menjadi pemimpin nombor satu negara suatu masa kelak?

“I haven’t thought about it to be honest,” sahutnya. “Bagi saya, jika saya terlalu memikirkan tentang kedudukan atau jawatan, saya takut saya akan hilang diri saya. Jadi saya percaya lebih afdal untuk saya fokus pada perjuangan di depan mata saya sekarang. Dan ke mana pun perjuangan itu membawa saya, no one knows for sure.”

PENYELARAS & PENATA GAYA: JOHAN KASSIM & ARIE SAMPORNAK TEKS: ABDUL AZIZ DRAIM ARAHAN SENI: SHANE ROHAIZAD GAMBAR: TOMMI CHU (BLINK STUDIO) RAMBUT & GROOMING: FENDI SANI PAKAIAN: BALLY, BOTTEGA VENETA, DIOR HOMME, FENDI.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.