Syed Thajudeen

SYED THAJUDEEN AMAT SINONIM DENGAN SENI LUKIS MALAYSIA. TOKOH PELUKIS TERSOHOR INI PUNYA LATAR BELAKANG YANG MENARIK UNTUK DIKONGSI TERMASUK MINATNYA TERHADAP SENI TERCETUS SEAWAL ANAK KECIL. PERTEMUAN SAYA DI THE BAUHAUS GALLERY YANG TERLETAK DI PINGGIR

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - GL

Pertemuan saya bersama Syed Thajudeen diatur mudah oleh anaknya. Kami bertemu di studio miliknya, The Bauhaus Gallery pada pagi Isnin, minggu terakhir seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa. Sengaja saya ingin berjumpa Syed Thajudeen di galerinya kerana teringin sekali mendekati ruang peribadi Syed Thajudeen, tempat dia bekerja dan mencurahkan idea-idea bernas.

Kata anaknya kepada saya melalui kiriman mesej, “Di situlah tempat ayah menetap dan berkarya.” Ia memberikan saya peluang untuk mendekati khazanah karyanya yang tak ragu lagi berperanan sebagai sumber idea dan dalam menjana perkembangan seni lukis tanahair.

BERPENDIRIAN TETAP

Syed Thajudeen, 75 tahun, dilahirkan di bumi India, berkongsi seperkara tentangnya, “I am a normal person. Punya minat yang mendalam dalam bidang seni. Minat terhadap bidang seni lukis bermula sejak kanak-kanak. Seingat saya, saya gemar mengumpul beg kertas yang diperolehi melalui pembelian barang, misalnya membeli pakaian ibu.”

Saya suka simpan dan kumpul beg kertas pakaian. Corak- corak indah yang menghiasi beg kertas tersebut sangat cantik. Ia memikat pandangan saya. Dan jikalau ada masa lapang, saya akan belajar melukis dengan meniru semula corak yang meliputi beg kertas itu. Terkadang bapa dapat ‘ menangkap’ saya sedang asyik melukis dan dia akan naik marah.”

“Padanya, melukis adalah aktiviti yang tak mendatangkan faedah. Di samping itu, saya cuba- cuba ambil peluang dengan menyertai beberapa pertandingan yang berkaitan seni”. Dia membesar di persekitaran sesak Little India yang pada ketika itu bertindak sebagai pemangkin kepada penambahan kemajuan ekonomi Pulau Pinang. Percampuran budaya serta kewujudan kepelbagaian bangsa dan agama di Pulau Pinang telah merangsang inspirasinya dalam bidang seni sehinggalah hari ini.

“How’s the exposure of art in Penang when you were a teenager?” soal saya. “Selepas Malaysia mendapat kemerdekaannya, sistem pendidikan British diteruskan dan aliran tersebut memberi penekanan kepada pendidikan seni. Subjek seni didedahkan kepada pelajar-pelajar sekolah. Teknik pembelajaran berbentuk ‘story telling’ juga menjadi sebahagian daripada mata pelajaran.

Dalam tahun 1965, Syed Thajudeen mengambil bahagian dalam kumpulan pertama pameran di Galeri Muzium Negeri Pulau Pinang. Momen tersebut menyimpan banyak kenangan yang sukar dilupakan bagi Syed Thajudeen, di mana di situlah dia mengadakan pameran solo pertamanya. One of his proudest moments in life.

Empat puluh tahun kemudian, pada tahun 2015, Syed Thajudeen diberi penghormatan oleh Muzium Negeri Pulau Pinang berupa Pameran Retrospekftif yang diadakan secara besar-besaran di tempat asalnya.

“Sewaktu menuntut ilmu perubatan di India, saya semakin terdedah dengan pelbagai cabang seni lain. Persekitaran yang unik dan kaya warna di India telah menerbitkan minat saya dalam bidang seni dengan lebih mendalam. Terdapat masa lapang, saya akan pergi melawat lokasi unik dan mendekati bangunan-bangunan bersejarah di sana.”

Di sana, Syed Thajudeen didedahkan dengan variasi warna kari berempah, helaian sari yang terang warnanya dan yang jarang sekali kelihatan di kampung halamannya di Malaysia. Ia telah membuka mata Syed Thajudeen.

Darah artistik Syed Thajudeen mengalir kencang, oleh itu campuran warna yang diperhatikannya dengan kemasan tekstur lukisannya, maka terciptalah ilham untuk Syed Thajudeen berkarya. Tekstur-tekstur bangunan, kuil India dan keindahan gua-gua di Maharashtra merangsangkan lagi bakat melukisnya.

Akibat minat yang terlalu tinggi terhadap seni mengatasi segala-galanya dan dia mahu bebas berkarya tanpa hidup dalam kekangan lain, dia mengambil keputusan untuk berhenti belajar ilmu perubatan. Biarpun mendapat tentangan hebat daripada ibu dan bapanya.

Kemudiannya, belajar ilmu seni di Kolej Seni Halus Kerajaan dalam tahun 1962, Sekolah Kerajaan Seni Halus dan Kraf di Madras untuk diploma dan pasca diploma dalam lukisan. Kolej Kerajaan Seni Halus merupakan institusi seni lukis yang tertua di India.

PENGARUH SOSIO KEBUDAYAAN INDIA

Dalam bidang seni, setiap pengkarya punya cara atau gaya mereka yang tersendiri untuk menghasilkan karya masing-masing. Di samping itu, bidang seni juga mempunyai pelbagai aliran yang mempengaruhi pengkaryanya, baik seni lukis, seni sastera mahupun seni budaya.

Aliran atau gaya itu boleh menjadi identiti kepada ahli-ahli seni selain ia mudah dikenalpasti intipati seni yang dihasilkan oleh mereka. Meskipun begitu, ramai yang masih beranggapan bahawa hasil karya seni agak subjektif dan terkadang sukar untuk difahami.

Menetap sekian lama di India, tanpa diduga ia telah membentuk jati diri dan ilham seni buat Syed Thajudeen terhadap lukisannya, di mana cerita dongeng, legenda dan mitos garapan Buddha Jataka, epik Ramayana ditampilkan dalam rangkaian kanvas ikoniknya.

“Saya meneruskan kerjaya dalam bidang seni dengan melukis lukisan yang bervariasi. I was still wondering what I wanted to do at that time.” “Just follow the flow, bukan?” “Ya, saya hanya lakukan kerja melukis tanpa sebarang perancangan rapi. Titik kerjaya sebagai anak seni beransur serius pabila saya berjaya menghasilkan lukisan bertajuk ‘ The Ramayana’. Subjek ini terpilih kerana saya kerap melawat kuil Hindu dan destinasi kaya seni berpangkalan di India. Dan pada masa sama, mendalami cerita- cerita legenda seperti Ramayana.”

“Subjek tersebut bukan dipilih tanpa sebab. Terdapat banyak mesej positif yang tersirat di sebalik lukisan itu. Jangan tamak, jangan sombong, dan jangan salah gunakan kuasa. Kerana ketiga-tiga ciri itu akan membinasakan orang sekeliling termasuklah diri sendiri. “Sekembalinya di Malaysia, saya dapati banyak tentang budaya Malaysia yang saya kurang tahu. Contohnya, wayang kulit, cerita kapal Garuda dan banyak lagi. Oleh itu, saya mula menggarap cerita- cerita rakyat, mitos masyarakat Malaysia dan banyak lagi sebagai sumber inspirasi baru untuk melukis.”

Tambah Syed Thajudeen lagi, dia begitu terpegun dengan baju tradisional wanita, misalnya kebaya yang bercorak warna warni, daya tarikan serta keanggunan wanita Melayu sebagai percontohan dari wanita-wanita sekelilingnya. Tak kurang juga, subjek lukisannya memerihalkan percintaan di antara seorang lelaki dan seorang wanita yang suci dan abadi. Termasuklah keakraban cinta kebapaan dan keibuan, cinta sejagat sesama manusia serta kecintaan nasional kepada tanahair.

NASIHAT BUAT GENERASI BARU

Bakat Syed Thajudeen terserlah, dia adalah pelukis yang terkenal serta mendapat sanjungan masyarakat seni dalam dan luar negeri. Antara kebolehannya ialah melukis dengan menggunakan pemikiran ilmu dan pengalaman berasaskan falsafah serta nilai-nilai budaya masyarakat Malaysia khasnya.

Kejayaan Syed Thajudeen membuktikan pembabitannya secara serius dalam bidang seni membawa kerjaya lumayan dan menafikan pandangan sempit sesetengah pihak yang beranggapan kerjaya itu tidak mempunyai masa depan.

“Saya memartabatkan nilai-nilai budaya masyarakat Malaysia juga kisah-kisah mitos yang menjadi teladan, seperti Parameswara, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Hang Jebat dan banyak lagi cerita lagenda popular lain,” ujar Syed Thajudeen kepada saya.

Syed Thajudeen berkongsi kepada saya, katanya perjuangan dalam bidang seni bukannya mudah. Art business is really tough. Banyak cabaran dan perlu bersabar menurutnya. Tambahnya lagi, don’t expect too much from this industry.

“Jujurnya, nak bertahan dalam perniagaan seni bukan mudah. It was very difficult for me. Saya bertuah sebab memiliki pekerjaan tetap yakni bekerja di bank dan pernah bergelar pensyarah separuh masa di salah sebuah universiti tempatan di Shah Alam. Saya pernah bekerja di bank selama 24 tahun. Mendengar kisah-kisah Syed Thajudeen, ia bukanlah mudah untuk merangkul gelaran tokoh pelukis tersohor di Malaysia. Dia sendiri mengambil masa yang sangat lama yakni 50 tahun untuk berada di tempat sekarang dan meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri.

“Tak ramai pelukis tempatan yang betul-betul berjaya. Sebilangan sahaja yang berjaya dan hidup lumayan. Nasihat saya, setiap pelukis perlu mempunyai kepercayaan yang tinggi, terus berusaha bersungguhsungguh, dan kejar matlamat yang diingini.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.