Pat Ibrahim

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - GL

JIWA SENI PAT IBRAHIM YANG KENTAL DALAM MEMELIHARA WARISAN DAN BUDAYA PATUT DIKAGUMI. TAHUN INI DIA DISERTAI SEGOLONGAN PENGGIAT SENI MEMBAWAKAN JERAYAWARA PEKAN BANGSAWAN WARISAN BUDAYA BERMULA JUN 2018 DENGAN MELIBATKAN LAPAN BUAH NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA. GLAM LELAKI SEMPAT BERTANYA PERKHABARAN BARU PAT IBRAHIM. 1. Perkembangan terkini?

Saya memberanikan diri untuk menubuhkan syarikat saya sendiri, Pat Ibrahim Project Entertainment (PIPE) pada Januari 2017. Ia terjadi atas desakan dari naluri untuk berkarya di atas pentas. Walau sudah hampir 30 tahun saya berada di dalam industri hiburan, baru kini saya mengumpul keyakinan untuk menghasilkan karya sendiri.

Peluang untuk turut serta dalam program Siri Semarak Bangsawan tahun 2017 anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan

Negara (JKKN) dan DBKL, saya gunakan untuk mementaskan Bangsawan Dendam Laksamana.

2. Kongsikan sedikit tentang jerayawara pekan bangsawan warisan budaya 2018?

Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya ini adalah satu program yang PIPE rancangkan untuk menyemarak dan memperkenalkan dunia persembahan pentas kepada orang ramai. Kami ingin menjelajah ke seluruh Malaysia.

Sasaran kami ialah anak muda yang mungkin tidak tahu akan kewujudan dunia kami sebagai satu cabang kerjaya di samping memperkenalkan teater bangsawan kepada mereka. Kepada mereka yang ‘curious’ dengan dunia di sebalik tabir persembahan pentas, ini adalah peluang untuk mengenali dan memahami individu di sebalik persembahan teater.

3. Matlamat projek tersebut?

Tak kenal maka tak cinta. Begitulah yang kami rasakan atas keperluan kami untuk menjelajah ke seluruh negara bagi memperkenalkan dunia di sebalik tirai merah. Peserta bengkel berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana kami bekerja sebagai satu unit yang padu bagi menghasilkan satu persembahan yang menghiburkan buat penonton.

4. Siapakah penggiat seni yang terlibat?

Antara team produksi kami adalah Siti Jasmina Ibrahim, seorang penulis skrip yang amat disegani dan Saiful Ridzuan, seorang pengarah muzik yang mempunyai latar belakang muzik yang luas. Selain daripada kelebihan bakat, etika kerja profesional yang mereka ada memainkan peranan penting mengapa saya memilih mereka untuk sertai jerayawara ini.

5. Pandangan anda tentang industri seni & kreatif di Malaysia?

Hari ini saya lihat industri kreatif masih menjurus kepada pembangunan seni tampak seperti grafik dan fesyen. Seni Persembahan masih belum mendapat perhatian masyarakat umum. Persembahan teater contohnya masih menjadi suatu yang amat asing bagi anak muda kita. Usaha untuk mengangkat budaya kita sebagai identiti Malaysia harus dipergiatkan lagi. Ia harus bermula sebagai satu usaha di peringkat kebangsaan.

“SASARAN KAMI IALAH ANAK MUDA YANG MUNGKIN TIDAK TAHU AKAN KEWUJUDAN DUNIA KAMI SEBAGAI SATU CABANG KERJAYA DI SAMPING MEMPERKENALKAN TEATER BANGSAWAN KEPADA MEREKA.”

6. Harapan anda terhadap bidang seni di Malaysia?

Harapan saya satu hari nanti bidang seni tidak lagi menjadi satu cabang kerjaya yang dipandang remeh dan rendah oleh masyarakat. Sebaliknya, seni menjadi pengikat kepada keharmonian dan kebanggaan rakyat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.