Altimet

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - GL

Dalam antologi industri seni tanahair, pertandingan Anugerah Juara Lagu

Ke-32 yang berlangsung awal tahun ini boleh dilambangkan sebagai pembukaan jilid baru dalam hikayat senario muzik tempatan. Kerana bila dibandingkan dengan edisi-edisi terdahulu, AJL32 menampakkan kemunculan lebih ramai bakat-bakat baru yang mungkin kurang dikenali sebelum ini: tujuh daripada 12 finalis yang bersaing adalah first-timer di AJL. Yang juga rata-ratanya berusia di bawah 30 tahun — Haqiem Rusli (20), Ara Johari (21), Khai Bahar (24), Syamel (24), Wany Hasrita (25), Ernie Zakri (26), dan Salma Asis (28).

Kehadiran generasi baru ini sudah tentu satu isyarat positif, menyuntikkan semangat yang segar ke dalam arena muzik kita, untuk menyambung legasi seni negara. Namun, biarpun bakat-bakat muda semakin rancak mewarnai industri, kelibat artis ‘veteran’ atau angkatan lama pula semakin jarang dilihat beberapa tahun kebelakangan ini. Baik di AJL mahupun di pentas seni secara amnya.

Mungkin berpunca daripada evolusi industri yang beransur digital dan yang kurang menitikberatkan produksi album. Atau pun kerana faktor usia, kalau tidak pun kerana fokus yang lebih tertumpu pada keluarga atau bisnes, ramai artis-artis lama sudah menyepi atau ‘slow down’ daripada kegiatan seni. Hanya segelintir saja yang masih rajin berkarya.

Antara ‘orang lama’ yang kekal aktif mengeluarkan material baru ialah rapper unggul, Altimet. Yang juga telah berjaya menjadi finalis AJL32 dengan mempertandingkan lagu Amboi. Iaitu lagu yang menerima sambutan cukup hebat di corong radio dan platform media sosial kerana liriknya yang sinis, disampaikan sebagai pesanan kepada kelompok perwira papan kunci yang pantas mengkritik, didukung pula video muzik berbentuk animasi-kolaj yang mencuit hati dan menghiburkan.

Mungkin ramai yang tidak tahu, tapi kali pertama lagu Amboi dipersembahkan malah diperdengarkan kepada umum ialah di majlis GLAM Lelaki Alphamen edisi ketiga. Yang berlangsung pada 24 November 2016, yakni 3 hari sebelum album Amboi dilancarkan dengan rasminya. Dengan persembahan yang dinamik dan bertenaga, Altimet — yang telah dinobatkan selaku salah seorang GL Aphamen ketika itu — berjaya mengubat rindu tetamu majlis yang sememangnya menantikan album baru daripadanya, menyusuri album Kotarayaku yang dikeluarkan dua tahun sebelum itu. Dengan irama berinspirasikan dikir barat, lagu Amboi terbukti menyengat hinggakan para tetamu terikut-ikut menyanyikan korusnya yang catchy, biarpun baru first time mendengarnya pada malam itu.

Seperti yang dijangkakan, album Amboi terbukti laku apabila berjaya menduduki tangga pertama di carta iTunes setelah pelancarannya. Di YouTube pula, video Amboi kini merekodkan sebanyak 4.4 juta tontonan. Lantas, berbekalkan sambutan ramai juga kekuatannya sebagai satu karya muzik yang bijak, pencalonan Amboi sebagai salah satu finalis di Anugerah Juara Lagu Ke-32 adalah amat deserving. Tidak disangkalkan lagi.

Cuma, apa yang menjadi tanda tanya peminat ialah corak persembahan yang bakal dipertunjukkan oleh Altimet di Axiata Arena, Bukit Jalil kelak. Kerana, sungguhpun sudah tiga kali bersaing di pentas AJL sebelum ini, pabila mempertaruhkan lagu Kalau Berpacaran bersama Ana Raffali dan Suhaimi Mior Hassan (AJL 26), Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael (AJL 28) dan Not For Sale bersama Stacy (AJL 30), tahun ini merupakan kali pertama Altimet tampil di AJL sebagai peserta solo.

And kudos to him, Altimet tidak menghampakan! Menerapkan elemen tradisional dalam karya hip hop, Altimet muncul di atas pentas dalam busana tradisional warna emas dan merah, persis pahlawan era baru — lengkap dengan tanjak dan cermin mata gelap — lalu menyampaikan persembahan yang tampak sempoi tapi berbisa, berlatar belakangkan visual grafik yang canggih, yang turut diiringi cameo aktres, Nabila Huda dan koreografi kumpulan dikir barat. Mantap dan mengujakan, persembahan Altimet telah diangkat sebagai salah satu highlight di malam AJL32. And, it gets better. Pabila keputusan pertandingan diumumkan, buat pertama kalinya, Altimet berjaya merangkul trofi Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu.

Semestinya satu momen yang amat ikonik

dalam kerjaya rapper ini, tapi juga satu episod yang bittersweet. Kerana dengan berakhirnya AJL32, maka berakhirlah juga peluang kita untuk melihat Altimet beraksi semula di pentas AJL selepas ini.

SUDAH LAMA DIRANCANG

Seperti mana yang telah diumumkan dua tahun yang lalu, dan digembargemburkan semula oleh media-media hiburan sejak AJL melabuhkan tirai, Altimet membuat kejutan apabila berkongsi hajatnya untuk bersara dari lampu sorot dunia hiburan menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-40, yang jatuh pada bulan November tahun ini.

Dengan sukses album dan lagu Amboi, diikuti pencapaiannya di Anugerah Juara Lagu. Kemudian pula penerimaan baik album solonya yang keempat, berjudul Air, yang baru dilancarkan April tahun ini dan langsung menjadi bualan hangat peminat muzik tempatan, berbekalkan lagu Mambang dan Bunga (masing-masing mendapat 4 juta dan 6.5 juta tontonan di YouTube)… with all his successes now, wajarkah Altimet bersara di waktu terdekat ini?

“Jujurnya, saya tak suka membicarakan hal ini dengan pihak media,” Altimet berterusterang, “kerana lazimnya mereka akan hangatkan isu ini sekadar untuk mendapatkan ‘eyeballs’. Sebab utama saya mahu bersara ialah kerana saya mahukan cabaran baru. Dan kedua, sebenarnya sudah lama saya merancangkan keputusan ini.”

Menurut Altimet, dia sudah melakarkan hala tuju kariernya sejak satu dekad yang lalu, setelah mendapat lagu hit- nya yang pertama di usia 30 tahun. “Kejayaan itu bagaikan satu anomali,” ceritanya lagi. “Kerana salah seorang daripada mentor saya dulu, Ahmad Izham Omar, pernah kata, ‘If you don’t have a hit by the time you’re 25, you will never be in Malaysian mainstream music.’ Jadi, bila dapat hit pada usia 30, saya pun tetapkan pada diri saya sendiri 10 tahun lagi untuk kekal sebagai rapper di pentas muzik arus perdana. Selepas itu, tiba masanya untuk cuba sesuatu yang baru. Walaupun dah lama dirancang, memandangkan tarikh persaraan itu semakin dekat, hal ini menjadi topik rancak sekarang.”

Altimet juga sedar setelah sekian lama berjuang dalam genre hip hop tanahair, cabaran yang suatu ketika dulu membakar semangatnya untuk berkarya sudah semakin kurang dirasai.

“I want new challenges. Kini, saya tak rasa ‘creative high’ seperti dulu. Macam tak cukup rintangan. Di awal kerjaya saya dulu, saya sering diberitahu lagu saya tak boleh jual. Jadi saya gunakan itu sebagai motivasi. Hari ini pula, bila saya berkarya, orang cakap, ‘Oh, kau nak keluar lagu baru? Mesti jadi hit lepas ni!’ So you know, itu satu indikasi bahawa tiba masanya untuk saya move on. Kerana saya kini berada dalam zon selesa. Dan saya tak mahu stuck dalam zon ini.”

Selain itu, Altimet juga sedar akan kebangkitan bakat-bakat baru yang masing-masing mahu menempa nama mereka dalam persada seni tempatan, seperti yang ketara di AJL32. Maka, dia melihat pengundurannya dari pentas persembahan sebagai langkah untuk membuka jalan untuk generasi baru mara ke hadapan. “I think there’s a generational shift happening in Malaysian music now. Jadi untuk saya yang sudah sekian lama dalam hip hop, sudah sampai masanya untuk orang seperti saya dilihat sebagai ‘veteran’, untuk membolehkan pelapis baru mengambil alih. I mean, misalnya kalau Search masih aktif buat show dan sebagainya, tak mungkin Hujan boleh naik satu masa dulu. Dan bila Hujan pula mula slow down, barulah bakat-bakat segar seperti Kugiran Masdo dan Oh Chentaku boleh progress.”

HOW IT STARTED

Menyentuh fasal progress, setiap yang berakhir, pasti ada permulaannya. Bagi Altimet, jejak pertama menjelajahi genre hip hop bermula di zaman sekolah menengah. Di mana, sebelum gerakan hip hop di Malaysia mula bertapak dan berkembang sekitar pertengahan dekad ’90-an, pendedahan awalnya terhadap muzik rap dan hip hop datang daripada carta Top 40. MC Hammer, Vanilla Ice, LL Cool

J, Run DMC, Snoop Dogg, De La Soul, antara pengaruh-pengaruh awalnya. “Pada masa tu, only the biggest, mainstream rap songs made it here. Dan saya ingat lagi sekali tu saya melepak di rumah sepupu saya. Dia peminat muzik heavy metal, seperti Anthrax yang

“BAGI SAYA, HIP HOP IALAH URBAN FOLK MUSIC — LAGU RAKYAT KOTARAYA. JIKA KITA LIHAT, LAGU-LAGU RAP MALAYSIA YANG MENJADI POPULAR ADALAH LAGU-LAGU RAKYAT”

pada masa itu ada membuat kolaborasi dengan Public Enemy. Dari situlah saya mula tertarik dengan hip hop.”

Setelah sekian lama melayan muzik hip hop dari Amerika Syarikat, kala berada dalam Tingkatan 5 (1995), Altimet berjaya memperolehi album hip hop daripada satu grup tempatan, yakni Naughtius Maximus. “Itulah grup tempatan pertama yang menarik minat saya. Yang membuat saya berfikir mungkin saya boleh rap sehandal, kalau tak pun lebih handal, daripada mereka. Mulai saat itulah saya mula menulis rap saya sendiri.”

Jika dibaca lirik rap daripada karyakarya Altimet seperti Amboi, Mambang, Bunga atau pun Muda, pengolahan ayatnya ibarat sajak moden, punya ritma juga manipulasi pantun dan kosa kata yang sarat dengan makna literal mahupun simbolik. Mungkinkah Altimet punya jiwa seorang penyair dari usia muda? “Tak juga,” jawabnya. “Saya rajin membaca, dan sangat minat pada mainan kata, yakni wordplay. Baik dalam Bahasa Malaysia mahu pun Inggeris. Apa yang saya suka tentang muzik hip hop ialah mainan kata yang sering digunakan, juga kerana saya tak pandai menyanyi jadi cara menyampaikan sesuatu dalam bentuk rap adalah lebih senang untuk saya dekati.”

Kemampuan rap untuk mengetengahkan pelbagai spektrum isu atau mesej dalam lagu turut menarik minat Altimet. “You can talk about anything! Bila dengar Public Enemy, mereka ada berbicara hal sosio-politik. Tapi bila layan Kris Kross, mereka ada lagu bertajuk I Missed The Bus. That’s what’s so cool about rap. Dan selain tu, kita ada grup yang lebih kontroversi seperti NWA dan 2 Live Crew yang kerap menggunakan bahasa kasar. Dan sewaktu remaja, sudah tentulah saya anggapkan itu cool — jiwa rebel, kan? Tambahan lagi 2 Live Crew suka rap pasal perempuan dan parti. Iaitu segala benda yang kita idamkan di usia itu tapi tak mampu kecapi.”

Altimet belajar rap melalui teknik imitasi ikon-ikon pujaannya, sehinggalah mampu untuk menyuntik inovasinya sendiri dalam penyampaiannya. Di samping itu, Altimet menyertai dan mula mengenali komuniti penggemar-penggemar hip hop yang lain melalui saluran mIRC (Sebagai penjelasan untuk golongan milenial, mIRC ialah satu platform ‘chatting’ melalui internet yang serupa aplikasi WeChat atau Telegram). Di sinilah dia mula berkenalan dengan DJ Fuzz, Fiquetional dan Mizz Nina, lantas mereka sebulat suara membuat keputusan untuk bergabung menubuhkan grup hip hop mereka sendiri, iaitu Teh Tarik Crew, pada tahun 1999. Saban tahun, Teh Tarik Crew berkembang menjadi antara kumpulan rap yang prominen di awal era 2000-an, hingga berjaya mendapat pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk album How’s The Level? (2002) dan What’s Next? (2004).

“But for the longest time, saya terpaksa rahsiakan semua itu daripada ibu bapa saya!” akui Altimet. Pada zaman itu, pabila kumpulan-kumpulan hip hop tempatan mula menembusi kesedaran arus perdana, media dan umum begitu pantas untuk melabelkan budaya hip hop sebagai satu pengaruh negatif terhadap remaja Malaysia. “Ayah saya pernah bersuara, ‘Don’t listen to all this rap, ya? This Too Phat, Poetic Ammo, Teh Tarik Crew…’,” Altimet bercerita. “Namun akhirnya bila mereka dapat tahu saya anggota Teh Tarik Crew, mereka menentang pilihan kerjaya saya tapi mereka juga sedar saya ni degil. So after a while, mereka biarkan je. Kau nak buat, buat lah.”

Menyentuh hal pengaruh budaya hip hop, apa pula pandangan Altimet tentang para pengkritik yang menyifatkan cabang muzik ini sebagai satu imitasi atau pun ciplak black culture yang sudah tentunya bukan budaya kita? “I think we passed that already. Mula-mula dulu, mungkin kami ada terikut-ikut sampai mengabaikan konteks lokal. Tapi sekarang, kami tidak lagi meniru, tapi memahami apa itu hip hop. Bagi saya, hip hop ialah urban folk music — lagu rakyat kotaraya. Jika kita lihat, lagulagu rap Malaysia yang menjadi popular adalah ‘lagu-lagu rakyat’: Alhamdulillah. Samseng. Papa Jahat. Apa Khabar. Amboi. Teman Pengganti. Kini hip hop kita punya identitinya sendiri.”

MENGUNDUR DIRI, BUKAN MENGHILANG

Penglibatan Altimet dengan kumpulan Teh Tarik Crew berakhir pada tahun 2007 apabila mereka berpecah untuk mencoret ceritera solo masing-masing. Semenjak bergerak solo, Altimet telah membuahkan empat album solo. yakni

“SAYA AKAN BERSARA DARIPADA MEMBUAT PERSEMBAHAN DAN MERAKAMKAN LAGU, BUKAN BERMAKSUD SAYA AKAN MENINGGALKAN INDUSTRI SENI INI TERUS”

First Among Equals (2007), Kotarayaku (2014), Amboi (2016) dan yang terbaru, Air (2018). Tahun ini juga melihatkan pembabitannya dalam pementasan Ola Bola The Musical, satu muzikal bertemakan muzik hip hop.

Sebuah projek Enfiniti Productions di bawah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina, Altimet telah direkrut untuk bekerjasama dengan komposer Mia Palencia untuk menulis lirik-lirik rap untuk produksi itu. “Saya sudah biasa menulis seorang diri,” Altimet menggambarkan pengalamannya. “Biasanya, sayalah penulis, dan sayalah klien. Jadi, segala perkembangan lirik itu ibarat satu internal dialogue dengan diri saya sendiri. Namun, dalam produksi ini, saya terpaksa bekerja dalam satu pasukan. Apabila saya sampaikan lirik saya, Puan Sri selaku pengarah mungkin meminta saya membuat perubahan tertentu mengikut kehendak jalan cerita. So it was a nice change, and I loved the challenge.”

Tambahan lagi, Puan Sri Tiara Jacquelina turut mencadangkan agar Altimet berlakon satu watak sampingan yang bernama Sarjan Ahmad. “Asalnya saya tak mahu, but she was very determined and persistent, haha. Dan saya rasa itulah rahsia kejayaannya. Lagipun, saya diperlukan dalam dua adegan saja so it was quite a relaxed role.”

Yang lebih penting, pengalaman Altimet dalam projek Ola Bola The Musical telah memberinya inspirasi untuk menghasilkan album terakhirnya, yang diharapkan akan dilancarkan sempena tarikh lahirnya yang ke-40, pada 27 November kelak. Sempena persaraannya daripada dunia persembahan. “Saya akan bersara daripada membuat persembahan dan merakamkan lagu, bukan bermaksud saya akan meninggalkan industri seni ini terus-menerus. Cuma saya mahu melibatkan diri lebih kepada penggubahan lagu dan kerja-kerja produksi untuk artis-artis lain, selain fokus pada beberapa bisnes yang telah saya ceburi.”

Meninggalkan pentas seni juga bermaksud Altimet akan lebih bebas untuk meluangkan masa dengan isteri dan tiga orang anaknya. “Anak lelaki saya cukup seronok fasal persaraan ini. Kerana dia tak suka bila saya dikerumuni peminat bila kami keluar berjalan. Dan sebelum ini banyak juga kenduri kahwin, doa selamat dengan keluarga yang terpaksa saya tinggalkan. Jadi selepas ini, saya lebih berpeluang menghadiri semua itu.”

Berkaitan album terakhirnya itu pula, yang akan diberi judul O, Altimet mahu menghasilkan satu album konseptual yang menceritakan perjalanan kerjaya seninya. “Konsep album ini sebenarnya saya sudah rancangkan sejak 6-7 tahun yang lalu. Saya mahu album ini digarapkan ibarat satu muzikal, atau satu filem audio. Ia adalah satu kisah cinta di antara saya dan seorang kekasih, dan kekasih itu ialah Muzik. Bermula daripada perceraian antara ibu bapa saya, kerana saat itulah bila saya mula mendekati muzik sebagai satu escape. Kemudian kita akan lalui pasang surut hubungan saya dengan muzik, hinggalah kami berpisah di penghujungnya, iaitu simbolik kepada persaraan saya.”

Yang jelas, Altimet amat teruja dengan projek ini, apatah lagi mengenangkan industri muzik kini yang kurang menitik beratkan potensi sebuah album. “I’m a guy who enjoys albums and discographies. Dan jarang sekali artis Malaysia berani membuat satu album konseptual begini. Jadi saya ambil ini sebagai satu cabaran. Cabaran terakhir saya.”

Album ini akan memuatkan antara 13-14 lagu, dan bakal menampilkan rakan-rakan seperjuangan yang telah sama-sama meniti pengembaraan Altimet dalam dunia hip hop sedari awal kariernya lagi.

Tajuk album ini pula punya makna yang cukup personal dan mendalam. “O itu membentuk satu bulatan penuh. Ia bermaksud sempurna atau tamatnya cerita saya sebagai seorang penyanyi dan penghibur.” Bulatan itu juga melambangkan satu perjalanan lengkap, yang kini sudah kembali kepada titik permulaan – coming full circle. Maka ia tak semestinya membawa gambaran satu titik noktah. Tapi menandakan satu permulaan baru yang penuh potensi dan cabaran baru.

PENYELARAS & PENATA GAYA: JOHAN KASSIM & ARIE SAMPORNAK DIBANTU OLEH EFNY AZIZ TEKS: AZIZ ABDUL DRAIM ARAHAN SENI: SHANE ROHAIZAD GAMBAR: CHEE WEI RAMBUT & GROOMING: SAHIR SABRI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.