The Heart Of Fusion

GLAM LELAKI DIJEMPUT KE PUSAT PEMBIKINAN JAM TANGAN HUBLOT UNTUK MENGENALI JIWA DAN JANTUNG YANG MEMBERI NYAWA KEPADA SETIAP SATU KARYA AGUNG RUMAH ARLOJI INI

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - GL

Berlokasi di wilayah Tasik Geneza, kota bersejarah Nyon sering menjadi tarikan para pelancong, tambahan lagi di musim panas. Selain barisan muzium dan seni bina zaman lampau seperti monumen-monumen purba Rom dan istana kecil Chateau de Nyon, senario Nyon tampak cukup idil dengan persiaran tasik dan marina yang mempesonakan. The perfect summer escape.

Di pekan inilah juga tempat terciptanya setiap satu jam tangan Hublot, yang lahir daripada sepasang bangunan hitam yang dihubungkan antara satu sama lain oleh sebuah jambatan hitam merentasi satu landasan keretapi. Bangunan asal Hublot 1 Manufacture kini menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan rumah arloji ini manakala bangunan Hublot 2 Manufacture yang lebih baru dan lebih besar pula – yang siap dibina pada September 2015 – berfungsi sebagai kilang utama, yakni tempat segala aktiviti pemprosesan dijalankan.

Lawatan GL ke sini bermula di Hublot 2 di mana kami dibawa melewati sejarah Hublot – bermula dari case asal tahun 1980, seterusnya ke rekaan Big Bang pada 2005, Classic Fusion pada 2008 sehinggalah Big Bang Unico pada 2013 – yang terpampang dalam bentuk grafik pada dinding lorong yang menuju ke ruang pemprosesan.

Konsep signatur jenama turut diterangkan melalui lukisan asal The Art Of Fusion (2004) oleh Jean- Claude Biver, CEO Hublot ketika itu. Yang menggambarkan penyatuan antara langit dan bumi, antara getah dari pokok dan emas dari tanah, mewakili penyatuan – ‘fusion’ – baik pada material, pergerakan atau antara sejarah dengan masa depan. Konsep inilah yang membentuk nadi Hublot hingga hari ini. Malah, Hublot ialah rumah arloji pertama yang berani menggabungkan emas dengan getah dalam satu jam tangan.

Dari sini, kami dibawa masuk ke bengkel-bengkel di mana pembentukan komponen-komponen yang membentuk komplikasi dan juga case suatu jam tangan Hublot dihasilkan. Sejak penubuhannya pada tahun 1980, setiap komponen jam tangan Hublot dibuat in-house.

Yang pasti, nama Hublot sudah sinonim dengan inovasi dan antara inovasi signatur yang sempat kami perhatikan dengan teliti ialah penghasilan Magic Gold. Material revolusioner, Magic Gold ialah satu-satunya aloi emas 18-karat di dunia yang tahan calar. Melibatkan proses pembikinan yang kompleks, Hublot hanya boleh menghasilkan satu jam Magic Gold setiap hari.

Magic Gold terhasil daripada ‘fusion’ 75 peratus emas 18-karat dengan boron karbida, iaitu sejenis seramik yang merupakan elemen kedua paling keras di dunia selepas berlian. Boron karbida lazimnya digunakan dalam kereta kebal atau baju kalis peluru.

Namun, seperti yang dibentangkan di Baselworld 2018, inovasi paling hangat dibualkan tahun ini ialah kemampuan Hublot untuk menghasilkan seramik dalam rona yang lebih vibrant. Satu pendekatan yang dianggap mustahil sebelum ini. “Bila zircon (seramik) dipanaskan lebih 2,000 darjah, warnanya akan kian pudar. Merah akan berubah ke jingga atau perang,” jelas pakar Hublot kepada kami. “Tapi kami telah menjumpai teknik untuk memanaskan zircon pada suhu lebih rendah untuk memastikan tiga pigmen warna prima kekal terang. Maksudnya kini kami boleh bermain dengan aneka paduan warna dengan lebih berkesan.”

Biarpun aktiviti pemprosesan dipusatkan di kompleks Hublot 2 Manufacture, segala inovasi di sini dizahirkan daripada idea dan konsep yang tercetus di Hublot 1 Manufacture. Selaku jabatan penyelidikan dan pembangunan jenama, Hublot 1 Manufacture meletakkan fokus pada rekaan pergerakan yang rumit dan eksperimen material baru – selain seramik, emas dan getah, Hublot juga pernah menghasilkan jam tangan daripada kain renda, denim, linen, dan Taxelium®, yakni aloi aluminium dan serat karbon.

Di bangunan ini juga diletakkan beberapa siri woksyop pemasangan, termasuk bengkel UNICO yang mempertontonkan rekaan dan pemasangan untuk pergerakan in-house kronograf. Istimewa lagi, woksyop Grandes Complications yang serba sunyi di mana hanya jam minute repeater dibenarkan berbunyi.

HUBLOT BIG BANG FERRARI MAGIC GOLD

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.