Susuk Ikonik Si Penyelam

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - GL

MELESTARIKAN JAM TANGAN MENYELAM PERTAMANYA BERWAJAH SEGI EMPAT YANG MANA MERUPAKAN SIGNATUR REKAAN IKONIK BELL & ROSS. JENAMA ARLOJI MEWAH PERANCIS INI MEMBENTANGKAN KOLEKSI TERBARU BR 03-92 DIVER DALAM PENUH GAYA DI TAPAK WARISAN UNESCO GLOBAL GEOPARK LANGKAWI.

Bell & Ross memperlihatkan instrumen menyelam terbarunya yang maju berinovasi, sekali gus memperkukuhkan posisi jenamanya dalam lapangan arloji yang ligat bersaing. Jam tangan menyelam Bell & Ross ini menawarkan penyelesaian yang sempurna tatkala si penyelam meneroka dasar laut yang indah juga kadangkalanya merbahaya. Kepakaran maritimnya menciptakan satu instrumen yang lahir dari hasil penumpuan, berkat nasihat pengetahuan serta kearifan kemahiran para pembuat serta pakar hidupan air. Himpunan BR 03-92 Diver yang baru ini juga membuka satu lembaran baru dalam kisah hubungan jenama bersama dunia lautan. Maka, Bell & Ross menerbangkan segenap kelompok media arloji tempatan serta Singapura ke laman tropika Pulau Langkawi bagi pelancaran dua edisi terkini BR 03-92 Diver yakni BR03-92 Diver Blue dan BR03-92 Diver Bronze.

Berselimutkan kemewahan di pulau legenda Mahsuri, rakan media bermalam di Four Seasons Resort untuk tiga hari dua malam dan berlibur di The Ritz- Carlton bagi pembentangan jam tangan penyelam baru selain mengimbas evolusi jam tangan Bell & Ross sejak pertama kali diperkenalkan. Ini termasuk koleksi Hydromax® yang direka pada tahun 1997 lalu memegang rekod yang paling mengagumkan kerana berkemampuan untuk menahan tekanan air sedalam 11,100 meter. Kemudian, memperlihatkan dua lagi barisan jam menyelam unggul yakni Diver 300 Chronograph pada tahun 2002 serta rangkaian BR02 yang dilancarkan pada 2007. Julung kali mempamerkan jam menyelam dalam susuk ikonik empat segi, Bell & Ross melancarkannya pada tahun lalu di mana terus mengesahkan keupayaannya serta usaha bagi menghasilkan instrumen menyelam profesional. BR03-92 Diver terus menjadi bukti kukuh bagi dunia menyelam dengan susuk garis ikoniknya. Karya terbaru ini adalah titik permulaan bagi keseluruhan barisan ini, yang mana bercambah merangkumi dua versi baru yakni BR03-92 Diver Blue dan BR03-92 Diver Bronze.

Bell & Ross turut sama menjemput Dr Gerry Goeden, ahli ekologi marin Langkawi bagi memberi ceramah serta mengulas projek-projek pemuliharaan marin di Asia Tenggara dan bagaimana beliau bergantung kepada peralatan menyelam yang baik. Mesej yang disampaikan oleh Dr Gerry seakan bergema

BARISAN JAM TANGAN BELL & ROSS SENANTIASA MEMENUHI KEPERLUAN KETAT MEMANDANGKAN PERHUBUNGAN DENGAN ORGANISASI KETENTERAAN PERANCIS. LANTAS, MENDEDIKASIKANNYA KEPADA AERONAUTIK, TENTERA LAUT ATAU UNIT KHAS SEPERTI GIGN, RAID DAN PAKAR PELUPUSAN BOM.

dengan perkembangan instrumen Bell & Ross yang sempurna dengan persekitaran sub-akuatik di mana ia menjadi sahabat para penyelam yang efisien dalam sebarang situasi. Mudah dibaca, praktikal, tepat dan unik dalam susuk segi empat yang tersendiri! Jam tangan Bell & Ross memenuhi keperluan profesional sekali gus mencerminkan keperibadian mereka yang memilih untuk penggunaan harian.

BR03-92 DIVER BLUE

Melambangkan rona laut, biru dipilih sebagai versi baru BR03-92 Diver ini. Di sebalik laman dail biru, bertali getah dan tampilan aluminium pada bezel, versi BR03-92 Diver Blue ini bertujuan untuk mencapai keterbacaan maksimum dengan indeks yang bersalut SuperLuminova® warna putih dan kuning bagi jarum jam. Di dasar air, intensiti cahayanya terbias terang lagi kontras memberi keutamaan kepada keselamatan si penyelam. Gabungan rona baru ini disempurnakan dengan bentuk signatur jenama ini lantas menerbitkan estetika sporty lagi tegap.

BR03-92 DIVER BRONZE

Membiaskan kualiti teknikal dan estetik yang luar biasa, model ini dikeluarkan sebagai edisi terhad kepada 999 utas. BR03-92 Diver Bronze adalah karya kedua bagi koleksi BR03-92 Diver yang membangkitkan akar sejarah penerokaan hidupan air. Case dan bezelnya diperbuat daripada gangsa yakni merupakan bahan yang digunakan pada masa lalu untuk helmet menyelam. Material gangsa juga boleh membentuk patina, bergantung dengan perubahan masa dan kepada persekitarannya. Langsung, ia tampak unik lagi rustik. Disempurnakan dengan tali kulit meneguhkan lagi semangat vintaj autentik pada fizikal jam tangan ini. Namun, ia boleh digantikan dengan tali getah untuk digunakan semasa menyelam. Kedua penambahan terkini ini kalis air sehingga 300 meter dan didorong oleh pergerakan mekanikal buatan Swiss yang punya ketahanan dan ketepatan yang terbukti.

Teks: Zuhairie Sahrom Gambar: Bell & Ross

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.