Menwear Now – Ke Manakah Kita?

DENGAN TREND SEMASA YANG BERANSUR KASUAL, KE MANAKAH KITA?

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - Teks: Abdul Aziz Draim Gambar: Google GL

Biar betul?” Begitulah respon kebanyakan pengkritik dan peminat fesyen selepas pemenang CFDA Menswear Designer of the Year 2018 diumumkan. Dalam majlis anugerah yang sering disifatkan sebagai ‘the Oscars of fashion’, dalam kategori yang cukup kuat merangkumi pereka Thom Browne, Tom Ford, Raf Simons untuk Calvin Klein dan Virgil Abloh untuk Off-White, Majlis Pereka Fesyen Amerika (CFDA) dengan penuh yakin menabalkan status pereka menswear paling berpengaruh bukan kepada seorang pereka yang disegani, mahupun pereka yang mahir dalam teknik tailoring pakaian lelaki. Malah, Menswear Designer of the Year 2018 jatuh kepada... Supreme.

Ya. Pereka menswear terbaik tahun ini bukanlah seorang pereka, tapi sebuah jenama. Satu realiti yang pengasas Supreme sendiri, James Jebbia akui dalam ucapannya malam itu, “Saya tidak pernah mengandaikan Supreme sebagai satu kompeni fesyen, atau diri saya sendiri sebagai seorang pereka, tapi saya hargai pengiktirafan untuk apa yang kami buat ini.”

Bulan lalu, dalam dua situasi yang berbeza, saya diajukan soalan, “Sebenarnya, apa dia Supreme ni?” Jadi, kepada yang masih belum arif lagi fasal label ini: Supreme ialah satu jenama independent yang diasaskan di New York pada 1994. Bermula sebagai sebuah kedai pakaian berlandaskan budaya skateboarding, Supreme juga menghasilkan pakaian berinspirasikan budaya hip hop, rock dan gaya hidup remaja, di mana item popular mereka ialah topi, kemeja T, jaket luar, hoodie dan sniker.

Jenama ini juga punya operasi yang unik: setiap koleksi Supreme dikeluarkan secara ‘drop’, iaitu pengeluaran stok yang dibuat setiap hari Khamis di setiap butik Supreme. Dan setiap ‘drop’ punya kuantiti produk yang terhad, maka barangan mereka kerap sold out. Oleh itu, peminat-peminat tegar jenama ini sanggup beratur lama dan panjang di luar butik setiap kali sesuatu ‘drop’ dibuat. Disebabkan kuantiti produk yang terhad juga, nilai ‘resale’ Supreme di pasaran sekunder amatlah mahal.

Supreme juga dikenali dengan kolaborasikolaborasi kreatif dengan jenama-jenama lain, antaranya Nike, A Bathing Ape, The North Face, Champion, Thom Browne, Levi’s dan Comme des Garçons yang sentiasa menjadi rebutan warga fesyen dunia. Namun, kolaborasi yang berjaya melonjakkan status Supreme ke stratosfera dunia fesyen ialah koleksi khas menswear bersama Louis Vuitton yang dikeluarkan tahun lalu.

Asosiasi Supreme dengan Louis Vuitton telah menjadikan jenama independent ini lebih laku daripada dulu – biarpun jenama ini memang sudah laku pun sebelum ini. Hinggakan Supreme kini dilihat sebagai satu jenama mewah.

But menswear designer of the year? Really?

KESELESAAN JADI KEUTAMAAN

Tahun lalu, dalam satu kajian, syarikat perundingan pengurusan Bain & Company, mendapati rumah-rumah fesyen mewah semakin gigih melaburkan bajet mereka dalam segmen luxury streetwear.

Antara tahun

2016 ke 2017, pasaran sniker mewah telah meningkat

10% (US$4.2 bilion) manakala kemeja T mewah pula naik 25% (US$3 bilion).

Antara faktor yang menyumbang kepada kebangkitan luxury streetwear ialah trend kasual yang menjadi pengaruh utama pembelian item fesyen sekarang. Jika dulu gaya formal karpet merah didefinisikan sebagai sut lengkap, dengan kemeja dan kasut kulit, kini sut yang dipadankan dengan kemeja T dan sniker juga diterjemahkan sebagai formal. Pendekatan sebegini telah membuka ruang kepada item kasual untuk menembusi situasisituasi yang

dulu mungkin dilihat sebagai “tak bertempat.”

Tambahan lagi setelah item kasual semakin diangkat sebagai item mewah – satu fenomena yang bermula dengan Vetements, kemudian Gosha Rubchinskiy dan jangan lupa kebangkitan trend athleisure yang masih tiada penghujungnya – gaya cool bagi jejaka moden hari ini ialah hoodie dan sniker. Kerana konsumer lebih cenderung untuk membeli dan memakai sesuatu yang selesa.

Populariti budaya hip hop turut menjadi faktor kepada trend kasual dan kemaraan streetwear. Hip hop yang mula sebagai satu sub-budaya kini menjadi lebih dominan terutamanya di Amerika Syarikat, di mana muzik hip hop telah menjadi selera arus perdana hingga menenggelamkan pengaruh Rock & Roll yang dulu menguasai carta muzik mereka.

Media sosial juga memainkan peranan. Jenama yang berjaya menghidupkan sesuatu ‘buzz’ atau ‘hype’, atau kreatif dalam komunikasi mereka dengan netizen, dan punya asosiasi dengan selebriti atau influencer yang betul, akan menjadi idaman ramai. Kerana hari ini, fesyen bukanlah tertakluk kepada pakaian atau rekaan sematamata, tapi juga pada branding. Lihat saja pada kejayaan Supreme: apakah aspek rekaan yang ada pada sebuah baseball cap atau hoodie yang kosong pun? Dan yang lebih penting, kalau mahu pakaian anda laku, suatu baju itu haruslah nampak cantik bila dikongsikan di Instagram.

Itulah yang pembeli kini mahu. Dan kemahuan sebegini mempengaruhi senario fesyen global sekarang. Sekian lama, media dan industri fesyen dilihat sebagai pencipta trend. Tapi dalam era ini, Matt Powell, penasihat industri dari syarikat penyelidikan pasaran, The NPD Group, percaya bahawa kuasa itu sudah jatuh ke tangan pihak lain. “Sebenarnya, konsumerlah orang yang bertanggungjawab dalam dunia fesyen. Jenamajenama fesyen sudah tidak punya kuasa lagi dalam mengemudi dialog fesyen. Kemenangan satu jenama streetwear [sebagai pereka menswear terbaik] melambangkan anjakan itu.”

Jadi, kini, pembeli sendiri yang menentukan trend fesyen? Mungkin juga, kerana jenama-jenama fesyen semakin peka kepada perkembangan ini dan kelihatan seolah-olah akur dengan tuntutan konsumer. Misalnya? Beberapa pengkritik fesyen berpendapat koleksikoleksi Minggu Fesyen Milan semakin komersial, di mana pereka-pereka menghasilkan pakaian-pakaian yang diminati pembeli sekarang, tanpa identiti unik yang mencerminkan pegangan jenama-jenama yang berbeza.

Kim Jones pula, pereka yang membawa esen streetwear ke Louis Vuitton melalui kolaborasinya bersama Supreme itu, kini telah dilantik sebagai Pengarah Kreatif untuk Dior Homme, jenama yang sebelum ini lebih dikenali dengan gaya Rock & Roll dan skinny jeans. Sebagai penggantinya, dalam satu perlantikan yang telah menggegarkan dunia fesyen, Louis Vuitton telah memilih Virgil Abloh, pengasas OffWhite dan penata gaya kepada Kanye West, sebagai pereka baru himpunan menswear mereka.

FESYEN LELAKI SEMAKIN DINAMIK

Samada anda setuju ataupun tidak dengan opsyen menswear yang cenderung pada hype, pemasaran dan keselesaan, hala tuju itu sebenarnya di tangan anda. Kuasa membeli mejadi penentu kejayaan suatu trend.

Yang penting ialah dialog fesyen lelaki kini bertambah rancak. Setelah sekian lama fokus diutamakan pada fesyen wanita, senario menswear menjadi topik bualan hangat industri.

Dan bagi peminat gaya yang lebih cenderung pada tailoring, sekiranya anda risau kalau gaya streetwear sudah mematikan aspek sartorial dalam menswear, think again. Untuk debutnya melalui koleksi Dior Homme SS19, selain gaya aktif dan sportswear yang sudah biasa kita lihat kala zaman LV-nya, Kim Jones turut menawarkan gaya sut yang segar, yang tampil lebih santai dan selesa, juga jaket doublebreasted yang smart tapi edgy. (And the saddle bag is back!). Dengan koleksi yang mendapat rebiu positif dari semua pihak, mungkinkah Kim Jones pula bakal menjadi Menswear Designer Of The Year tahun depan?

KIM JONES

GOSHA RUBCHINSKIY SUPREME X LOUIS VUITTON VIRGIL ABLOH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.