RETORIK

Is Batik Dying?

GLAM (Malaysia) - - Kata Editor -

IZRIN ISMAIL ADALAH PENGARAH URUSAN INNAI DAN INNAI RED. SEBAGAI INSAN YANG BEKERJA RAPAT DENGAN SENI BATIK, IZRIN BERKONGSI PENDAPAT MENGENAI STATUS BATIK TANAH AIR. SILA E- MEL PENDAPAT PERIBADI ANDA KEPADA SUZIEADNAN@BLUINC.COM.MY

Siapa tidak tahu batik? Seni fabrik indah warisan Melayu yang kerap di pakai megah di acara khas atau sebagai pakaian harian golongan pencinta estetika budaya. Setiap kali berlangsungnya pertunjukan fesyen Malaysia tidak kira di sini atau luar negara, pastinya rangkaian batik menjadi mandatori. Batik telah melalui evolusi yang pesat dan kreatif dalam percubaan untuk menandingi cita rasa moden dan lebih global. Mungkin ramai dengan mudah menganggap batik pilihan yang popular dan komersial akan terus teguh buat selama-lamanya tetapi situasi ini kemungkinan besar ‘ indah khabar dari rupa’.

The truth is, batik is in trouble. Sebagai seorang usahawan yang bekerja rapat dengan industri batik, ini adalah pendapat peribadi daripada pemerhatian saya sejak bergelanggang dalam industri batik selama 14 tahun. Memang benar, batik masih menjadi pilihan ramai dan pihakpihak tertentu sentiasa memainkan peranan aktif dalam memartabatkan seni halus ini tetapi pulangan ekonominya masih belum mampu menanggung industri yang pada hakikatnya sangat niche. Izinkan saya berkongsi sedikit mengenai batik saya. Hasil fabrik daripada pelukis batik berpengalaman adalah terhad bilangannya. Setiap hasil rekaan mereka unik dan tiada ada dua yang sama kerana semuanya bergantung pada sentuhan tangan yang berbeza dan tidak mudah ditiru semula. Hasilnya lahirlah fabrik batik yang indah dan tersendiri dan bakal digunakan untuk membuat pelbagai stail pakaian yang diingini. Proses membatik yang rumit dan memerlukan ketekunan tinggi inilah yang membuatkan harga batik lebih tinggi dan ini bergantung pada jenis kain yang digunakan untuk mencorak batik.

Pada zaman moden ini penggemar fesyen mahu semuanya cepat dan mudah didapati pada harga yang terbaik. Justeru, permintaan batik cetak semakin meningkat. Proses membuat batik cetak ini meningkat kerana batik cetak lebih mudah dan murah dimana rekaan dapat diaplikasi beribu-ribu kali dalam mengeluarkan bekalan pakaian yang banyak. Ya benar, estetika batik tetap digunakan tetapi apa yang terjadi pada pengusaha batik yang sebenar iaitu karyawan batik yang mengambil masa bertahun-tahun melengkapkan diri dengan keupayaan mereka dan melukis batik dengan rekaan-rekaan yang mewah dan hebat? Bagaimana mereka dapat menandingi pengeluar batik cetak yang hanya ingin memenuhi permintaan penggguna dan mengaut keuntungan tanpa mengambil kisah pemeliharaan dan pembangunan industri desa yang satu hari nanti mungkin akan lenyap. Jikalau batik hanya berlindung di bawah sokongan pembeli elit, mampukah industri turun-temurun ini bertahan? Mengukuhkan dan memartabatkan batik di Malaysia adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan pengeluar batik sahaja. Jikalau benar kita ingin mempertahankan seni tekstil yang indah ini (antara fabrik-fabrik asli yang lain di Malaysia juga) penggiat industri sendiri dan juga pengguna harus memperkasakan diri dengan informasi batik. Pihak atasan boleh memberi lebih peluang kepada pengeluar batik asli untuk memperkayakan seni dan perniagaan mereka tidak kira sama ada daripada segi pinjaman untuk meningkatkan keupayaan mereka atau terus mempromosi batik di peringkat nasional dan global. Rasanya sudah tiba masanya perhatian diberi kepada batik asli, agar pengguna lebih peka dengan belian mereka. Mungkin logo khas perlu dicipta agar batik asli dapat dilabel dan pembeli membuat pembelian yang berinformasi. Malah ‘cop’ ini bakal menaikkan taraf eksklusif batik asli dan menjadikannya ‘a must-have’. Hari Batik Malaysia dapat menghembuskan semangat baru dalam menghargai seni ini atau inisiatif khas buat pereka fesyen untuk memuatkan batik dalam koleksi mereka.

Pengeluar dan pereka batik harus terus memperhebatkan seni mereka dengan rujukan yang lebih relevan dan menepati cita rasa masa kini. Aplikasi batik zaman sekarang boleh dilakukan dalam pelbagai cara dan tidak terbatas sekadar baju kurung dan kaftan sahaja. Jaket, top tunik dipadankan bersama jeans atau skirt kulit mungkin memerlukan corak yang lebih kontemporari. Sebagaimana industri seni barat yang kerap memandang ke timur untuk inspirasi, kita juga perlu membuka mata mengutip idea baharu yang dapat ditonjolkan melalui batik.

Penggemar fesyen juga perlu arif dalam menilai batik cetak dan batik asli dalam membuat pembelian. Kemungkinan besar faktor harga memainkan peranan besar tetapi harus juga diingati kreasi seni batik ini mengambil masa yang lama dan memerlukan ketekunan. Setiap belian anda akan menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri batik. Sokongan semua pihak dalam menaikkan status batik perlu agar seni ini terus mewarnai dunia fesyen dan warisan kita. Ayuh mari kita bersama-sama melihat keindahan fabrik ini dengan pandangan yang baharu agar batik terus kukuh dan popular seiring fabrik asli dan moden yang lainnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.