Luxury & Milenial

GLAM (Malaysia) - - Ogos - SUZIEADNAN@ BLUINC.COM. MY

Begitu asyik dengan barisan foto yang memenuhi timeline sekitar Minggu Haute Couture yang baru sahaja selesai, angin perubahan jelas dapat dirasai kala menilai semula koleksi demi koleksi yang dipersembahkan. Jika dahulu kelompok pereka yang menghasilkan Haute Couture bernaung di bawah sayap Chambre Syndicale de la Haute Couture tampak begitu berprestij dengan jemputan eksklusif klien-klien elit; hari ini musim adibusana tampil sama meriah seakan sedang meraikan koleksi-koleksi ready-to-wear atau pramusim. Influencer mendominasi dan hasil rekaan juga turut sama memperlihatkan sisi yang lebih relaks dan kasual.

Valentino menghasilkan gaun tulle hanya untuk dipakai bersama kasut bertapak leper manakala Dior dengan gubahan the New Look yang lebih malas tetapi mencipta statement yang berani. Mungkin cuma di Armani Prive atau Dolce & Gabbana Alta Moda, manipulasi idea dan kemasan masih menampakkan kemewahan. Selainnya tampak ringkas cuma mungkin inovasi pada mainan teknik sahaja. Atau mungkinkah prinsip rekaan hari ini sudah berubah? Lebih ringkas bermakna lebih mewah? Ada laporan mengatakan generasi milenial tidak berminat membeli produk mewah seperti berlian. Benarkah?

Jelas sekali arus trend dan permintaan konsumer sudah jauh berubah di mana generasi milenial memainkan peranan besar. Idea luxury itu sendiri tidak lagi membawa maksud di dalam erti kata sebenarnya. Sesungguhnya jenama dunia sama juga menuruti apalagi semakin hari semakin bertambah label-label baru yang mana publisiti digerakkan dengan media sosial yang menawarkan ribuan malahan jutaan klik dalam satu minit. Begitulah kuasa internet hari ini.

Di negara kita juga banyak usahawan muda yang memulai label sendiri hingga populariti hampir mengalahkan jenamajenama kukuh. Bulan ini GLAM memaparkan beberapa pemilik jenama fesyen, kecantikan serta gaya hidup. Dahlia Nadirah, Nelissa Hillman serta Kulet girls, Aina Syahirah dan Julie Anne antara yang yang sedang hangat diperkatakan. Jenama mereka sudah ada ramai pengikut setia dan ini semestinya suatu perkembangan yang cukup membanggakan untuk label kelahiran tempatan. Tiada lagi alasan untuk mengatakan jenama antarabangsa memonopoli pasaran kerana daya saing semakin kompetitif menjadikan industri fesyen dan retail secara amnya bertambah meriah!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.