Biasan Fusion

Cintanya terpaut saat kali pertama menjejakkan kaki ke banglo ini. Landskap indah bersulam sisi moden kontemporari menjadi elemen utama mengapa Datin Sharifah Shawati memilihnya.

GLAM (Malaysia) - - Glam Life - T EKS & PENYEL AR AS YUS A IRI F IT RIAR AHAN SENI MAHIR AH NADZL IM GAMBAR SOO PHYE PHOTOGR APHY SOL EK AN RACHEL SEOK MENGGUNAK AN NARS DANDANAN SYAM R IO

Saya benar-benar teruja apabila personaliti cantik ini memberikan kebenaran untuk GLAM Life memotretkan wajah kediamannya untuk edisi Ogos 2017. Lokasi yang dituju tidak sukar ditemui kerana ia terletak di kawasan perumahan elit, Taman Melawati, Ulu Klang, Selangor. Rimbunan tropika menyejukkan perjalanan menuju ke lokasi yang dijanjikan. Usai mendaftarkan diri di pos pengawal, tibalah di alamat yang diberi. Selesa, selamat dan homey itulah kata yang bermain dalam fikiran seandainya mahu di ratingkan suasana di sini.

Memasuki ruang halaman, ia ringkas hanya bertemankan ruang untuk parkir kereta dan taman mini yang dijaga rapi dengan landskap yang bermain dengan nada tropika. Menguak pintu utama, mata dijamu dengan struktur ruang yang unik. Banglo tiga tingkat ini dibina dengan ciri yang unik di mana aras parkir adalah aras tengah yang menempatkan kamar utama. Manakala aras atas dilengkapi bilik tidur keluarga dan aras paling bawah pula lengkap ruang tamu, ruang makan, ruang utiliti dan dapur. Sambil menantikan pemilik kediaman bersiap di kamar utama, saya meneliti keindahan persekitaran, banglo ini mempunyai ruang laman pada sisi kiri dan kanan yang boleh dihubungkan menerusi pintu kaca bersaiz mega. Suasana hening membaluti, berada di sini suasana hingar seakan menyembunyikan diri.

Ruang tamu kediaman milik Datin Sharifah Shawati ini ringkas namun mengekalkan konsep moden kontemporari. Garapan perabot sofa Chesterfield menjadi tunjang bersama konsep suai padan gaya klasik rona coklat dan putih yang diperkemaskan lagi dengan kemasan keluli dan kaca. Biasan air kolam yang ditempatkan di sebelah ruang tamu menyuntik aura mewah. Tambahan pula pancaran cahaya terang menembusi binaan cermin yang menjadi facade mencipta kesegaran pada ruang. Kala ditanya mengenai reka bentuk kediaman ini. “Saya dan suami sememangnya gemar dengan ruang yang luas. Sebagai contoh, ketinggian siling berganda ini memberikan nilai tambahan dan menjadikan kediaman ini lebih selesa dan luas. Begitu juga dengan susun atur perabot. Saya senang ia tampak ringkas. Ruang keluarga ditempatkan di atas, andainya saya ada tetamu, mereka akan ditempatkan di ruang paling bawah berdekatan dengan ruang tamu. Begitu juga dengan pemilihan perabot dan aksesori, saya akan pastikan susun atur diletakkan pada kedudukan terbaik. Bermain dengan ruang amat menyeronokkan dan saya gemar akan corak seperti kuda belang, harimau dan elemen bulu kerana apabila disuai padan dengan perabot ia menerbitkan sensasi fusion kontemporari.”

Ruang makan terletak berdekatan

“Saya gemar akan corak seperti kuda belang, harimau dan elemen bulu kerana apabila disuai padan dengan perabot ia menerbitkan sensasi fusion kontemporari.”

dapur kering bersebelahan dengan ruang tamu. Di huni meja kayu yang teguh, nuansa tropika dihembus sempurna pada ruang ini menerusi elemen kayu kayan. Meja sisi lengkap cermin bersaiz mega memberikan ilusi luas pada penghuni. Kata Datin Sharifah lagi. “Memandangkan saya gemar pada elemen fusion kontemporari, saya memilih meja makan ini sebagai penyeri ruang. Ia kukuh, punya nilai estestika yang tinggi dan memenuhi ruang tanpa berlebihan. Begitu juga dengan perletakan cermin yang besar di sebelahnya. Cermin ini punya nilai sentimental kerana kayu yang digunakan untuk dijadikan bingkainya adalah daripada kayu pokok durian dan ia sukar ditemui. Hampir 10 tahun ia bersama saya sejak pembukaan salun kecantikan pada 2002 dan masih dalam keadaan baik sehingga sekarang.”

Beralih ke ruang dapur yang berada bersebelahan di antara meja makan dan ruang tamu, ia serba putih. Dengan pepulau dapur di tengah-tengah, komposisinya cukup menarik. “Saya tidak melakukan sebarang ubah suai pada bahagian dapur ini kerana ia sememangnya lengkap seperti keadaan asal tiga tahun lalu sewaktu menduduki rumah ini. Adanya pepulau dapur, ia bukan sahaja memudahkan kerja di dapur malah mencantikkan lagi ruangan. Malah di dapur juga terdapat pintu kaca lebar yang memisahkan lama sisi sehingga ke bahagian belakang.

Ditanya mengenai konsep terbuka dengan kehadiran cermin telus cahaya disekeliling rumahnya Datin Sharifah memberitahu itu adalah impian keluarga. “Saya sebenarnya mahu memasang langsir yang telus cahaya tetapi saya perlu juga mengambil kira pendapat anak-anak. Mereka gemarkan konsep yang terbuka seperti di negara barat. Oleh sebab itu, saya sengaja membiarkan ia sepi tanpa langsir. Pada hemat saya, kediaman yang baik adalah dihuni dan dinikmati bersama oleh keluarga” ujarnya mengakhiri perbualan.

SOFA KULIT CHESTERFIELD MENERBITKAN SESI KLASIK KONTEMPORARI PADA RUANG TAMU UTAMA.

PELANTAR KAYU DIBINA MENEMANI KOLAM RENANG UNTUK BERSANTAI BERSAMA KELUARGA.

DATIN SHARIFAH SHAWATI DALAM PERSALINAN PLEATS PHENOMENA CASUALS DARIPADA ADAMAYA.

MEJA MAKAN BESAR MENJADI TITIK FOKAL WAJAH RUANG MAKAN.

PALET PUTIH MEMBERIKAN ILUSI MEWAH DAN LUAS. DILATARI PEPOHON HIJAU SEBAGAI PEMECAH WARNA.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.