Demi Masa

GLAM (Malaysia) - - Anekdot - OLEH A IDA OSMAN

Andainya waktu bisa diundurkan semula pasti banyak kesilapan yang mahu kita hindari. Dan andainya masa dapat diputar kembali, mungkin kisah hidup kita akan berbeza. Tetapi sayang. Waktu terus berlalu, detik kian melaju dan masa tidak mahu menunggu apatah lagi berbalik kembali. Mahu atau tidak, roda kehidupan ini perlu terus dipacu dan kita meneruskan perjalanan dengan menggalas beban kenangan yang ada kalanya amat sukar kita lepaskan.

Begitulah masa yang kita lewati tanpa disedari. Bermula pagi tahu-tahu hari sudah meninggi. Sibuk bekerja, berlari ke sana kemari sedar-sedar kita sudah di penghujung hari. Senja merangkak pergi dan malam setia menanti. Pulang ke rumah keletihan dan ada kalanya sudah tidak berdaya untuk meluangkan masa bersama keluarga apatah lagi menghabiskan masa yang berkualiti dengan anak-anak yang ditinggal sepanjang hari. Begitulah rutin kita setiap hari. Helaian kalendar terus berganti halaman sehingga akhirnya tahun baru menjelma lagi. Setiap kali melangkah ke tahun baru kita menoleh ke belakang dan melihat masih banyak yang ketinggalan. Masih banyak yang belum kita capai dan amat menyedihkan hidup tiada pembaharuan. Statik. Tidak berubah cuma umur sahaja yang bertambah.

Masa kita biarkan berlalu begitu sahaja meski kita tahu detik yang pergi tidak berganti. Biar begitu banyak perumpaan atau pepatah yang menekankan peri pentingnya masa tetapi kita tetap tidak menghargai. Biar sudah diingatkan berulang kali betapa ruginya mereka yang mensia-siakan waktu kita tetap tidak mahu ambil peduli. Tabiat membazir masa tetap kita pandang sepi. Sikap bertangguh masih mahu kita warisi. Kita sebetulnya cukup arif yang membazirkan waktu, membiarkan masa berlalu tanpa kita isi dengan hal yang berfaedah sebenarnya amat-amatlah rugi. Seutas jam tangan yang menghiasi pergelangan tangan, berfungsi sebagai pemberitahu waktu tidak akan bermakna kalau kita masih tidak menepati masa. Berjanji jam sepuluh, jam sembilan pagi masih di atas katil. Jadi usah bangga jika anda menggayakan jam tangan jenama berprestij dengan segala macam kerumitan mekanikalnya, dibuat daripada material terkini dan di tatah pula butiran berlian ratusan biji. Kemewahan jam tangan, keindahan rekaannya hilang makna apabila sikap kita tidak terpuji.

Demi masa sesungguhnya ramai diantara kita yang rugi. Rugi kerana tidak melunasi kerja mengikut batas waktu yang diberi, tidak mengota janji, tidak menghabiskan masa bersama keluarga dengan alasan masa mencemburui. Bagi kita waktu dua puluh empat jam itu masih tidak mencukupi. Demi masa mari kita sama-sama menghayati detik-detik yang berlalu. Bekerja, menguruskan perniagaan, mengejar harta sebenarnya tidak akan pernah ada hujungnya. Jadi apakata kita belajar mencintai masa, memeluk detik-detik waktu dengan penuh rasa cinta. Raikan masa, hargainya dengan merancang jadual dengan teliti. Agihkan waktu dengan seadil-adilnya. Masa untuk bekerja, waktu bersama keluarga, masa untuk diri sendiri, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai dan bersosial sekali-sekala. Apabila masa dimanfaat dengan sebaik-baiknya tentu akan ada ruang untuk kita berfikir dengan lebih jernih. Fikiran yang jernih akan mendorong kita membuat langkah yang tepat. Apabila langkah kita betul tentu hasilnya akan baik. Kesilapan dan kesalahan jika tidak dapat dihindari sekurang-kurangnya boleh kita kurangi.

Selagi diberi nyawa, hargailah setiap masa yang ada. Hiduplah dengan kehidupan yang indah untuk dikenang apabila kita sudah tua nanti. Percayalah kita semua mahu disebut sebagai insan baik, anak yang berbakti, petugas yang bertanggungjawab, sahabat yang dicintai dan jiran yang bertimbang rasa. Cari masa, peruntukkan masa untuk semua insan di dalam kehidupan kita. Sesekali panjangkan langkah jengah ke kampung halaman menziarahi saudara mara yang ada di sana. Pastikan kita turut menyisakan waktu untuk sahabat tidak kira teman lama atau baharu juga untuk jiran tetangga. Ramai di antara kita tidak kenal jiran sendiri kerana tidak pernah bertegur sapa dan yang lebih parah ada yang tidak cam muka jiran yang tinggal selang dua pintu daripada kita.

Jika masih tidak tahu bila harus melakukannya atau atas alasan apa mahu berjumpa mereka Hari Raya adalah saat tepat untuk berziarah demi mengukuhkan ukhuwah dan silaturahim yang sudah pudar dan longgar ikatannya. Seandainya ada hatihati yang pernah kita patahkan, jiwa yang terusik dan kalbu yang terluka angkara kita, sementara kita masih diberi masa, temui mereka mohonlah kemaafan dan baiki semula hubungan yang telah tercalar.

Demi masa yang masih dipinjamkan lagi oleh Maha Pencipta buat kita mari kita pujuk hati untuk memaafkan insan yang pernah melukakan hati. Lapangkan dada untuk melupakan segala yang keruh. Dan seandainya selama ini kita ambil mudah tidak pernah menzahirkan kata-kata cinta atau sayang kepada orang yang kita kasihi tidak kira mereka itu suami, isteri, ayah, ibu, anak-anak, adikberadik dan sahabat, luahkan sekarang juga. Ingat masa tidak pernah menanti meski sedetik cuma. Kita tidak mahu hubungan pudar hanya kerana kasih yang tidak terungkap, cinta yang tidak terucap. Banyak yang kita saksikan ikatan persahabatan dan persaudaran yang terlerai kerana sebuah khilaf dan secuit salah faham. Tetapi apabila dibiarkan sepi bersama waktu yang mengalir, tidak ada sebarang usaha untuk mengikatnya kembali, hubungan itu berakhir. Alangkah ruginya. Ya, sesungguhnya demi masa, anda, saya dan kita semua tidak mahu menjadi insan yang rugi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.