TAPAK KERAJAAN LANG BUANA

Harian Metro - - Muka Depan - Syazwan Msar [email protected]

Penemuan 100 kubur lama di beberapa kawasan hutan antara Jasin, Melaka dan Tangkak, Johor baru-baru ini mungkin boleh membuktikan kewujudan kerajaan Melaka lama yang diperintah oleh Lang Buana pada awal abad ke-14 iaitu sebelum kedatangan Parameswara.

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (Universiti Putra Malaysia) UPM Dr Rohaidah Kamaruddin berkata, Lang Buana adalah individu yang bertanggungjawab membawa dan mentabalkan Parameswara menjadi Sultan Melaka pada 1402.

Beliau berkata, sebelum kedatangan Parameswara, sudah ada penempatan di kawasan antara Johor dan Melaka sekali gus kemungkinan Kesultanan Melayu Melaka bukannya kerajaan pertama yang bertapak di Tanah Melayu.

“Kisah Lang Buana tidak banyak diceritakan dalam fakta sejarah, malah dianggap sebagai mitos atau dongeng oleh kebanyakan orang ramai kerana tiada bukti seperti tinggalan artifak atau barangan berkaitan individu berkenaan.

“Namun, ekspedisi di Kampung Chohong dan Chin-Chin, Jasin, Melaka baru-baru ini menemui sebuah kubur yang dikatakan milik Lang Buana yang berada di atas bukit di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Semalam, Harian Metro melaporkan terdapat lebih 100 kubur lama dan beberapa artifak di kawasan hutan antara Jasin dan Tangkak sekali gus merungkai persoalan mengenai kerajaan Melaka Lama sebelum kedatangan Parameswara.

Struktur kubur dianggap misteri oleh penduduk tempatan mempunyai rekaan tersendiri berdasarkan bentuk dan kedudukannya.

DR Rohaidah berkata, kubur berada di puncak bukit di kampung berkenaan mungkin milik seorang pemimpin yang memerintah kawasan berkenaan berdasarkan kedudukannya.

“Masyarakat terdahulu akan kebumikan pemimpin mereka di kawasan tinggi sebagai tanda penghormatan terhadap darjat kepimpinan individu terbabit.

“Namun, terlalu awal untuk mengatakan kubur berada di puncak bukit itu milik Lang Buana kerana memerlukan kajian lebih teliti termasuk mengambil kira penceritaan orang tua-tua di kampung itu,” katanya.

LAPORAN Harian Metro semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.