Bapa lega dapat bantuan TAPEM, MAIM

Harian Metro - - Metroplus -

Melaka: Seorang bapa terharu apabila hasratnya menyediakan pakaian baharu untuk tiga anak menjadi kenyataan selepas menerima bantuan disumbangkan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Mohd Zam Samad, 37, berkata, pendapatan sebagai buruh cuma RM1,000 sebulan hanya cukup untuk menampung kos membeli barang keperluan harian isteri dan empat anaknya.

Menambahkan lagi beban lelaki itu apabila isterinya pula disahkan mengalami masalah buah pinggang baru-baru ini dan memerlukan wang dalam jumlah banyak untuk setiap sesi rawatan.

“Jika tidak terima sumbangan ini tiga dari mereka perlu memakai pakaian tahun lalu ke sekolah kerana saya tidak mampu gantikannya dengan yang baharu,” katanya ketika menerima sumbangan TAPEM dan MAIM disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Koperasi negeri Datuk Latiff Tambi Chik, di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.

Katanya, pada majlis itu dua anaknya menerima peralatan sekolah sumbangan MAIM manakala seorang lagi daripada TAPEM.

Sementara itu, Pengurus Besar TAPEM Mustafa Musa berkata, sejak ditubuhkan 16 tahun pihaknya sudah mengagihkan sebanyak RM9.1 juta kepada 68,717 penerima.

Beliau berkata, pada majlis berkenaan seramai 500 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dalam kawasan Parlimen Kota Melaka menerima bantuan peralatan sekolah.

500 pelajar terima bantuan persekolahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.