Harian Metro

Didenda RM2,300 minta derma madrasah

-

Jaya: Tindakan dua lelaki warga Thailand meminta derma bagi sebuah madrasah di negara itu tanpa lesen sah, membawa padah apabila masing-masing dikenakan denda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini menjatuhka­n hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh iaitu Rusali Bueraheng, 45, dan Abdulloh Arrong, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Melayu.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh dipenjara empat bulan jika mereka gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati menjalanka­n kutipan derma bagi Madrasah Tahfiz Darul Islah tanpa sebarang lesen yang sah di hadapan Bank CIMB, Jalan 52/2, Pekan Baru, di sini, pada jam 6 petang, 26 Ogos lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 3(3) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 dan dihukum mengikut Seksyen 3(2) akta sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pihak polis melihat kedua-dua tertuduh sedang meminta derma di tempat kejadian dan hasil pemantauan polis mendapati kedua-dua tertuduh menaiki kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki lain.

Hasil pemeriksaa­n juga mendapati semua individu yang ditahan adalah warga Thailand selain polis turut menjumpai wang tunai RM2,000, resit madrasah dan cop madrasah, baju Melayu serta kopiah.

Terdahulu, mereka yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya dikenakan denda ringan dengan alasan masing-masing penanggung utama keluarga.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia