KEDAH, PULAU PINANG BANJIR

Air sungai melimpah genangi Georgetown, Balik Pulau

Harian Metro - - Muka Depan - Hazdlihady Hassan dan Zulfa Mohamad am@hmetro.com.my

Hujan lebat hampir empat jam menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini dan Balik Pulau dilanda banjir kilat yang boleh dianggap terburuk, semalam.

Hujan lebat yang bermula sejak jam 4 pagi itu menyebabkan air sungai naik mendadak hingga mencecah paras bahaya.

Air naik pada paras bahaya di Sungai Pinang yang mencecah 3.2 meter dan Sungai Air Itam mencecah 7.3 meter menyebabkan banjir sedalam 0.6 meter di beberapa lokasi.

Antara kawasan dinaiki air di Georgetown ialah

Jalan P Ramlee, Kampung Makam, Kampung Masjid, Sungai Pinang, Kampung Mutiara, Jalan Masjid

Negeri, Jalan Tun Sardon,

Air Itam, Kampung Masjid Yahya dan Jalan Tun Sardon.

Manakala, tiga tempat dilanda banjir di kawasan Balik Pulau ialah Teluk Bahang, Teluk Kumbar dan Bayan Baru.

Keadaan itu menyebabkan ribuan pengguna jalan raya yang mahu ke tempat kerja terkandas hampir empat jam di beberapa lokasi yang dinaiki air.

Seorang penduduk, Idrus Illias, 60, berkata, dia tidak dapat keluar dari rumahnya di Jalan P Ramlee kerana arus deras dan paras air naik hingga dada.

Menurutnya, dia tidak berani keluar dan hanya menunggu bantuan bot kerana bimbang dihanyutkan arus.

“Air mula naik jam 8 pagi dan didapati semakin meningkat tidak lama kemudian dan banjir kali ini adalah yang terburuk berlaku bagi tahun ini dan sebelumnya,” katanya.

Selain itu, hampir 10 pelajar yang sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa meredah banjir kilat sebelum bantuan bot dari bomba dan Angkatan Pertahanan Awam tiba.

Sementara iu, Exco Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, jumlah hujan yang diterima di negeri ini amat tinggi disebabkan fenomena musim inter monsun berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, jumlah hujan tertinggi yang dicatatkan stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah di Daerah Timur Laut iaitu sebanyak 198 milimeter (mm) di stesen Sungai Pinang dan 175mm di Daerah Barat Daya di stesen Empangan Teluk Bahang manakala di daerah lain sebanyak 60 hingga 120mm hujan dicatatkan dalam tempoh empat jam.

Kon Yeow berkata, taburan hujan yang turun pagi semalam adalah purata 100mm dalam tempoh empat jam melebihi kategori amat lebat iaitu 60mm sejam.

Menurutnya, setakat ini, hanya satu pusat pemindahan banjir yang dibuka di Teluk Kumbar yang menempatkan kira-kira 40 orang penduduk yang terjejas akibat bencana ini.

BEBERAPA kenderaan di Apartment Kayangan Puri Mutiara, Tanjong Bungah dihempap tanah runtuh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.