DAKWA DATUK SERI PALSU

Ahli perniagaan dituduh guna anugerah kebesaran tanpa kebenaran bertulis Sultan Perak

Harian Metro - - Setempat - Mohd Hafizee Mohd Arop hafizee@hmetro.com.my

Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri Panglima tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Perak, pada Januari lalu.

Tertuduh, Irwan Mohd Noor,43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri Panglima bagi maksud persendirian tanpa kebenaran Sultan Perak di No 2850, Kampung Rapat Jaya Tambahan, dalam daerah Kinta, Ipoh pada 20 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a), Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) enakmen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Yusaini Amer Abdul Karim, manakala tertuduh diwakili peguam Aiman Ariff.

Murtazadi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport.

Sebutan semula kes ditetapkan 16 Oktober ini.

IRWAN dibawa keluar

Mahkamah Sesyen Ipoh,

semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.