LENCUN SAMUN EMAS

Harian Metro - - Setempat - Nur Izzati Mohamad am@hmetro.com.my

Dua perompak kebas barang kemas bernilai RM60,000 ketika hujan lebat

Biarpun dalam keadaan hujan lebat, dua perompak menggunakan kesempatan itu melarikan sejumlah barangan kemas dianggarkan bernilai RM60,000 dalam kejadian samun sebuah kedai emas dekat Jalan Pasar, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi itu, kedai emas yang baru dibuka untuk beroperasi didatangi dua suspek yang menaiki motosikal sebelum mereka memecah ruang pameran kaca meletak barang kemas dengan tukul besi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata pemilik memaklumkan dua suspek terbabit memakai topi keledar penutup gelap dan menaiki motosikal yang nombor pendaftarannya tidak dikenal pasti.

“Siasatan mendapati, seorang suspek memegang tukul besi, manakala seorang lagi mempunyai senjata api dipercayai pistol. “Seorang suspek memecahkan ruang pameran berkaca dan mengambil beberapa dulang berisi pelbagai barangan kemas, manakala seorang lagi mengacukan senjata api ke arah mangsa di kedai emas itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua suspek meloloskan diri dengan motosikal.

“Polis giat memburu suspek selain memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya.

KEADAAN kedai emas yang dirompak dua suspek bermotosikal dekat Jalan Pasar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.