Dua dituduh kemuka invois palsu bebas tahanan reman

Harian Metro - - Setempat -

Dua individu membabitkan seorang wanita yang juga pengarah sebuah syarikat kontraktor dan pembantu teknikal syarikat cari gali dibebaskan daripada tahanan reman, semalam, selepas disiasat berhubung kes mengemukakan invois palsu RM23.65 juta bagi satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Perintah tamat reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Nik Isfahanie turut menetapkan kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) RM50,000 setiap seorang.

Pada 6 September lalu, kedua-dua mereka direman kali pertama enam hari sebelum disambung empat hari lagi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sumber SPRM sebelum ini memaklumkan suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.

Difahamkan, tuntutan itu dibayar syarikat cari gali berkenaan kepada syarikat kontraktor terbabit namun tiada kerja dilaksanakan.

Sebelum ini, empat individu lain dibebaskan daripada tahanan reman berhubung siasatan kes itu termasuk seorang pengurus kanan syarikat cari gali dan bapa mentua kepada bekas eksekutif syarikat sama.

DUA individu yang dibebaskan daripada tahanan reman, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.