KUCUPAN PERPISAHAN

Harian Metro - - Setempat - Nur Saliawati Salberi nursaliawati@hmetro.com.my

“Sabtu lalu, ketika kami adik-beradik bersiap ziarahi pusara ibu, arwah tiba-tiba cakap mahu ikut sama. Saya pelik sedangkan sebelum ini dia pasti menolak walaupun diajak berkali-kali.

“Malah ketika di kubur, arwah membersihkan dan memacakkan dahan pokok kecil atas pusara ibu.

“Ketika membonceng pula, arwah memeluk dan mencium saya berkali-kali sedangkan sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian,” kata Mohd Izwan Abd Rahman, 29, abang kepada Muhammad Amirul Amin, 9, yang ditemui lemas di sungai di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah itu dikatakan keluar dari rumahnya jam 5 petang bermain bersama rakan sebelum mandi seorang diri di sungai itu dan lemas.

Difahamkan, rakan mangsa yang tidak mandi melihat mangsa terkapai-kapai meminta tolong namun dia melarikan diri dan pulang ke rumah kerana ketakutan.

Mayat kanak-kanak itu ditemui di dasar sungai itu pada jam 9.55 malam, 10 meter dari lokasi dia dipercayai mandi oleh orang awam yang membantu pasukan anggota bomba mencari dan menyelamat.

Mohd Izwan berkata, bapanya, Abul Rahman Hussin, 58, mula resah apabila arwah yang juga anak bongsu tidak pulang daripada bermain selepas waktu Maghrib lalu keluar mencari Muhammad Amirul yang pada mulanya disangka hilang.

“Saya yang dalam perjalanan ke rumah mentua terserempak dengan ayah ketika itu yang baru saja keluar mencari adik.

“Ayah bimbang dengan keselamatan adik kerana pada kebiasaannya dia pulang sebelum Maghrib solat berjemaah bersama-sama di rumah.

“Kami mencari arwah di merata tempat termasuk dalam kawasan semak sebelum ada rakannya beritahu mereka melihat basikal adik di tebing sungai itu lalu kami bergegas ke sana.

“Sejurus sampai, kami terus memanggil namanya namun tidak bersahut.

“Ketika menyusuri tebing, saya lihat ada tapak kaki dan tanpa berlengah terus terjun ke dalam sungai mengesan arwah. Selepas sejam mencari termasuk menyelam, saya gagal menemui adik.

“Ayah menghubungi talian kecemasan mendapatkan bantuan bomba dan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan aktiviti mengorek pasir.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut namun kami menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian kanak-kanak itu,” katanya.

Kanak-kanak mandi sungai seorang diri lemas

MOHD Izwan mengiringi jenazah adik bongsunya di Hospital

Alor Gajah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.