KELIBAT MENCURIGAKAN

Harian Metro - - Setempat -

Kelibat lelaki memanjat pagar pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum menyelusup ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) menimbulkan persoalan kemungkinan dia mendalangi kejadian kebakaran yang meragut 23 nyawa di pusat pengajian agama itu.

Ini kerana siasatan awal pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati kebakaran itu bukan berlaku akibat litar pintas malah mereka juga tidak menemui sebarang bahan kimia yang boleh dikaitkan dengan tragedi malang itu.

Menurut sumber, berdasarkan rakaman CCTV yang direkodkan kira-kira jam 3.23 pagi itu, lelaki berjaket biru gelap tertera nombor 88 pada bahagian belakang itu dilihat memanjat pagar hadapan pejabat PPIM sebelum merangkak menuju ke bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kira-kira dua jam sebelum kebakaran berlaku.

“Kita tidak pasti ke mana dia menghilangkan diri selepas itu namun siasatan mendapati kemungkinan dia masuk ke pusat tahfiz berkenaan,” katanya.

Sumber itu memberitahu Harian Metro, suspek tidak kelihatan lagi dalam rakaman CCTV selepas itu.

Menurutnya, selain suspek pertama yang merangkak masuk ke kawasan PPIM itu, ada seorang lagi lelaki sedang berlegar di bahagian luar pagar belakang antara pusat tahfiz itu dengan pejabat PPIM.

“Suspek meninggalkan kawasan kejadian kira-kira 15 minit sebelum kebakaran berlaku,” katanya.

Katanya, seorang daripada suspek yang dirakamkan dalam CCTV berkenaan sudahpun ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung insiden itu.

“Suspek juga dibawa pegawai penyiasat ke pejabat PPIM bagi meneliti rakaman CCTV selain bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, motif dendam dipercayai antara punca kepada kejadian berkenaan namun siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu dari semua sudut termasuk dakwaan yang mengatakan punca kejadian akibat perbuatan khianat.

“Kami akan menunggu sebarang petunjuk baru berdasarkan siasatan daripada laporan forensik yang diterima termasuk laporan daripada bomba.

“Buat masa ini kes kematian mangsa tragedi diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, semalam.

Dalam perkembangan sama, selain Unit Forensik JBPM, Unit Forensik PDRM juga menjalankan siasatan di kawasan kejadian bagi mengumpul bukti berkaitan unsur khianat itu.

Terdahulu, selain meneliti rakaman CCTV pada hari

 Lelaki dirakam panjat pagar sebelum kebakaran pusat tahfiz

kejadian, sumber itu berkata, pegawai penyiasat PDRM dilapor memeriksa CCTV sehingga lima hari sebelum tragedi berkenaan.

Harian Metro semalam melaporkan, 23 nyawa membabitkan 21 pelajar dan dua guru melayang dalam kebakaran di pusat tahfiz itu.

Kebakaran dilaporkan bermula di tingkat tiga pusat tahfiz itu jam 5.15 pagi sebelum berjaya dikawal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 6.45 pagi.

Mayat semua mangsa ditemui rentung dan bertindih di tingkat paling atas pusat tahfiz selepas kebakaran dipadamkan.

Mayat mangsa ditemui di dua kawasan berasingan di tingkat yang menempatkan 33 pelajar di bangunan tiga tingkat itu.

RAKAMAN CCTV milik PPIM menunjukkan seorang lelaki memanjat pagar sebelum menyelinap masuk ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.