Teliti CCTV milik PPIM cari petunjuk

Harian Metro - - Setempat -

Kuala Lumpur: Polis sedang meneliti hampir 30 kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dipercayai boleh memberi petunjuk kepada kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat Hujung.

Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sepasukan polis sedang meneliti semua rakaman itu sejak kelmarin.

Menurut Nadzim, kedudukan CCTV di sekitar pejabat PPIM bersebelahan pusat tahfiz itu boleh merekodkan situasi yang berlaku sebelum, sewaktu dan selepas kejadian.

“CCTV ini menampakkan hampir semua sudut pusat tahfiz termasuk Taman Tasik Datuk Keramat yang terletak di belakang bangunan ini.

“Semakan mendapati bermula pada jam 7 malam (Rabu) hingga jam 12 tengah hari (kelmarin), terdapat belasan individu berlegar di sekitar taman dan polis sedang menyiasat kehadiran mereka yang boleh dikaitkan dengan kejadian kebakaran ini,” katanya.

Menurutnya lagi, banyak pihak yang tular di media sosial dengan mendakwa kejadian kebakaran berkenaan ada kaitan dengan kegiatan PPIM.

“Saya tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk unsur khianat dan dendam. Biar polis siasat dari semua aspek.

“Kita menunggu petunjuk tetapi perasaan dendam itu ada kemungkinan dan ia perkara baru untuk PPIM, ” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.