Tubuh jawatankuasa perhalusi sistem sekolah tahfiz

Harian Metro - - Setempat -

Kuala Nerang: Kementerian Pendidikan mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memperhalusi sistem pendidikan sekolah tahfiz di negara ini yang diseliakan kementerian.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tahfiz di negara ini terbahagi kepada dua kategori iaitu berdaftar dengan majlis agama Islam negeri dan tidak berdaftar dengan mana-mana institusi.

Menurutnya, hal membabitkan pengurusan sekolah tahfiz perlu ada satu kurikulum khusus iaitu pendidikan formal dan juga mendalami al-Quran.

“Misalnya, pelajar di sekolah menengah perlu menduduki Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi pada masa yang sama masih meneruskan pengajian tahfiz.

“Keduanya, pendaftaran sekolah tahfiz ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan belum diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan kerana perkara berkaitan agama Islam, termasuk pusat tahfiz berada di bawah kuasa Sultan dan Yang Dipertua Negeri masing-masing.

“Oleh itu, pertama sekali kita perlu .dapatkan persetujuan kerajaan negeri, Sultan dan Yang Dipertua Negeri terlebih dulu selaku ketua agama Islam di negeri masing-masing baru jawatankuasa itu boleh ditubuhkan,” katanya selepas merasmikan Penutupan Taklimat Pengurusan Jaringan Rakyat (JR) Wanita UMNO Padang Terap Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Dewan Badlishah, Kolej MARA Kuala Nerang, di sini, semalam.

Mahdzir berkata, jawatankuasa itu bertanggungjawab menyeragamkan pendaftaran pelajar, mengetatkan pemantauan dan keselamatan di pusat tahfiz di negeri yang diseliakan Kementerian Pendidikan.

“Rekod sejak 2011 hingga 2017 menunjukkan puluhan kes berlaku membabitkan sekolah tahfiz dan jawatankuasa ini dicadangkan tanpa mencampuri urusan kerajaan negeri, tetapi menyeragamkan pendaftaran dan pemantauan sekolah tahfiz.

“Kejadian pusat tahfiz terbakar semalam (kelmarin) satu tragedi amat malang dan saya merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta keluarga mangsa yang terbabit dalam peristiwa ini. Mudah-mudahan mereka bersabar dengan ketentuan Allah,” katanya. Mengulas kecaman bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin di laman sosial Twitter menyalahkan beliau, Mahdzir berkata, apabila berlaku kejadian seperti ini tidak perlu segera menuding jari kepada sesiapa, tetapi lihat kepada kejadian ini terutama kebajikan mangsa dan keluarga,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.