KENANGAN MANIS BERSAMA ACIK

Harian Metro - - Setempat -

Keluarga terkenang kelakuan manja tenaga pengajar pusat tahfiz sebelum terkorban

“Kali terakhir berjumpa, arwah kerap mencium ibu dan kami adik-beradik perempuan yang lain, mungkin itu tanda kenangan manis kami sekeluarga,” kata Noraini Md, 29.

Dia adalah kakak kepada tenaga pengajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Mohd Yusuf Md, 26, yang terkorban dalam kebakaran awal pagi kelmarin.

Menurutnya, adik lelaki tunggalnya itu yang lebih manja dipanggil Acik adalah harapan ibu dan arwah bapa untuk berjaya dalam bidang agama dan Alhamdulillah arwah juga memang minat mendalami ilmu agama.

Katanya, arwah sudah lama di pusat tahfiz berkenaan sejak berusia 15 tahun lagi dan menuntut di sana sebelum menjadi tenaga pelajar selepas tamat belajar di pusat tahfiz itu.

“Kali terakhir arwah pulang ke kampung pada cuti Aidiladha hujung Ogos lalu dan dia menghabiskan seminggu di kampung.

“Ketika di kampung antara kelakuan arwah yang mungkin menjadi kenangan terakhir kami sekeluarga bersamanya adalah dia lebih kerap mencium ibu dan kami adik-beradik perempuan ketika itu.

“Arwah memang manja dengan ibu dan adik-beradik perempuan lain kerana hanya dia dan abang sulung anak lelaki, manakala lapan lagi adalah perempuan termasuk seorang yang meninggal dunia waktu kecil,” katanya ketika ditemui di FELDA Gunung Besout 4, di sini, semalam.

Menurutnya, ahli keluarga mendapat maklumat mengenai kejadian jam 7 pagi semalam daripada jiran yang anaknya juga tenaga pengajar di pusat tahfiz berkenaan, namun ketika itu belum mengetahui keadaan sebenar arwah.

“Dua jam kemudian baru kami dimaklumkan arwah seorang daripada mangsa yang terkorban.

“Ibu menangis seketika sebaik dimaklumkan berita itu, namun kelihatan tenang dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Noraini berkata, sebaik mengetahui perkara itu abang sulungnya dan kakak yang menetap di Lembah Klang terus ke Hospital Kuala Lumpur untuk mengetahui perkembangan lanjut.

“Manakala, ibu Saadiah Othman, 62, ke ibu negara jam 10 malam tadi (kelmarin) sekali gus akan mengiringi jenazah arwah untuk dibawa pulang dan dikebumikan di sini dijangka lewat petang ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, arwah jarang bercerita mengenai pusat tahfiz atau tentang kerjanya, namun pada kali terakhir berjumpa adiknya itu ada mengatakan warga pusat tahfiz berkenaan akan berpindah ke bangunan baru yang berhampiran.

“Arwah memberitahu bangunan didiami sekarang adalah sementara saja dan mereka akan berpindah pada hujung bulan ini di bangunan baru,” katanya.

Ditanya sama ada mendengar cerita yang mengatakan arwah sebenarnya berjaya menyelamatkan diri, namun masuk semula bagi membantu pelajar yang terperangkap, Noraini mengakui dia dan keluarga ada mendengarnya, namun tidak pasti sama ada benar atau tidak kerana hanya mendengar cerita orang lain.

Menurutnya, jenazah arwah akan disembahyangkan di Masjid Assalamuddin FELDA Gunung Besout 4 dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Gunung Besout.

GAMBAR kenangan Mohd Yusuf (duduk depan) bersama keluarganya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.