Tiada lagi imam ‘bongsu’

Harian Metro - - Setempat -

Kuala Lumpur: Hati ibu mana yang tidak girang melihat anak bongsunya boleh menjadi imam untuk solat jemaah bersama keluarga.

Namun Nurlaila Mad Noor, 58, sukar menerima khabar duka apabila anaknya itu, Mohd Hasrullah Ismail, 14, adalah seorang daripada 21 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang maut dalam kebakaran kelmarin.

Sepupu mangsa, Junaidah Abd Karim, 42, berkata, kesedihan itu dikongsi Nurlaila sebaik mengetahui tragedi menimpa anak bongsu daripada lapan beradik itu.

Menurutnya, ibu Hasrullah baru-baru ini gembira tatkala menceritakan anak lelakinya itu mampu menjadi imam solat berjemaah.

“Arwah mula menuntut di pusat tahfiz itu sejak dua tahun lalu selepas kematian ayahnya, Ismail Jaafar akibat kencing manis.

“Berdasarkan cerita Nurlaila, banyak perubahan yang berlaku terhadap Hasrullah hingga dia boleh menjadi imam solat berjemaah kepada keluarga mereka,” katanya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Junaidah berkata, arwah juga menunjukkan perubahan ketara daripada seorang yang nakal kepada seorang berpengetahuan agama selepas menjadi penuntut di pusat tahfiz itu.

“Dulu arwah seorang yang nakal, namun sejak menjadi penuntut pusat tahfiz itu banyak perubahan berlaku terhadapnya.

“Perubahan itu membanggakan ibunya, namun kebahagiaan itu tidak berpanjangan,” katanya.

Katanya, Nurlaila masih trauma dan kerap menangis sejak semalam (kelmarin) sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, Jenazah Mohd Hasrullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Baru, di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.