MENCARI SYURGA

Harian Metro - - Addin -

Satukan keluarga dengan matlamat hidup bahagia

Janji Allah SWT mengenai penduduk syurga, ahli syurga berkata: “Segala puji bagi Allah yang menghilangkan dukacita daripada kami. Sesungguhnya Tuhan kami benarbenar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

Yang menempatkan kami dalam tempat yang kekal (syurga) daripada kurnia-Nya, di dalamnya kami tiada berasa lelah dan tiada pula berasa

lesu.”(Surah Fathir,

ayat 34–35)

Lebih mengujakan, kehidupan di sana tidak akan diperangi, diceroboh atau dihalau selamalamanya. Dalam Surah

al-Hijr, ayat 48, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka tidak berasa lelah di dalamnya dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan dari syurga.”

Apakah usaha kita sekarang untuk mewujudkan suasana keluarga kita di dunia ini mirip di syurga? Jika hendak sama sepenuhnya memang tidak dapat kerana di syurga amat berbeza dengan kehidupan di dunia.

Jadikanlah keluarga kita mempunyai matlamat besar. Pastikan tindakan seisi keluarga kita ke arah mencapai matlamat itu. Apabila matlamat jelas, hubungan akan menjadi semakin kuat.

Hal sepenting ‘membina matlamat’namun ramai keluarga yang melupakannya. Cuba periksa keluarga kita, adakah kita sudah melaksanakannya?

Jika ada ramai keluarga yang bermatlamat jauh, pasti dunia ini akan menjadi tempat yang lebih aman untuk didiami. Realitinya, belum lagi.

Matlamat menjadikan sebuah negeri atau negara bangkit, bersatu dan kukuh. Diriwayatkan oleh Umar bin Abdul Aziz, tidak pernah mengambil satu langkah pun kecuali di dalamnya mempunyai niat (tujuan yang jelas).

Ini antara rahsia penting kejayaan sesebuah negara. Begitu jugalah dalam sebuah keluarga. Sebuah keluarga yang mempunyai matlamat walaupun untuk perkara kecil akan bersatu menjunjung matlamat itu.

Namun syaitan sentiasa membisikkan gangguannya untuk menggoyahkan usaha berkenaan. Iblis dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka lalu mereka mengikutinya kecuali sebahagian orang-orang yang beriman.

(Surah Saba’, ayat 20)

Adakah kita termasuk dalam ciri-ciri sebahagian orang beriman itu? Dalam keluarga biasanya ada ayah, ibu dan anak. Pernahkan kita sekeluarga saling bertemu dan merancang matlamat bersama?

Hari ini juga, solatlah bersama-sama, sebaikbaiknya di masjid dan berdoa untuk menemukan satu matlamat. Indahnya apabila membayangkan anak membesar dengan cara merancang matlamat dalam hidup.

Mereka belajar dengan ibu bapa lalu mereka menjadi pemimpin negara yang berusaha menjadikan rakyat di negaranya hidup bermatlamat.

Belum terlambat! Bina matlamat keluarga kita hari ini. Yakinlah, keluarga yang bermatlamat akan ada 1,001 idea untuk mengusahakannya.

Matlamat perlukan fokus yang jelas dan spesifik. Untuk menunjukkan sasaran yang jelas memerlukan niat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya amal-amal itu sesuai dengan niatnya.” (Riwayat al-Bukhari I/3, Muslim III/1515)

Sebagaimana dunia pekerjaan, keluarga juga memerlukan pemantauan, ganjaran dan prestasi. Jika tiada pencapaian yang ingin dicapai dan tiada kaedah untuk mencapainya, inilah namanya keluarga yang tidak bermatlamat.

Matlamat biarlah menyeluruh merangkumi kemahiran, kecerdasan, pencapaian akademik, kecergasan tubuh badan, bahkan melatih jiwa yang kuat untuk bersiap sedia menghadapi apa saja ujian Allah SWT.

Lihat pada seketul magnet. Apabila dia mendekat kepada jarum yang berselerakan, ia akan menarik semuanya.

Begitulah peranan matlamat dalam menyatukan hati setiap anggota keluarga. Letakkan matlamat jauh keluarga kita adalah untuk memenangi reda Allah SWT.

Allah SWT pasti mengilhamkan matlamat yang bakal mewarnai serta mengindahkan hidup kita, seterusnya membiaskan cahayanya kepada setiap anggota keluarga.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.