RASA MALU

Harian Metro - - Setempat - Recqueal Raimi hmkk@hmetro.com.my

Tukang kasut redah perjalanan 6.5km setiap hari demi rezeki halal mampu raih RM1,500 sebulan

Setiap hari Masdi Gadius, 31, meredah perjalanan sejauh 6.5 kilometer berjalan kaki dari rumahnya di Kampung Nawoi untuk ke pekan Kiulu.

Dia akan tiba di pekan itu pada jam 6.30 pagi sebelum menunggu pelanggan yang mahu membaiki kasut di bawah pokok mangga berhampiran jalan raya.

Dengan hanya beralaskan batu bata, di situlah tempat dia mencari rezeki sebagai tukang kasut setiap Isnin hingga Jumaat.

Walaupun tiada premis perniagaan atau pejabat berhawa dingin dan selesa seperti sesetengah pekerjaan lain, lelaki ini mampu meraih pendapatan bulanan RM1,000 hingga RM1,500.

Masdi boleh dikatakan contoh terbaik bagi pemuda berani dan sanggup berkorban untuk keluarga dalam mencari rezeki halal.

Bercerita lanjut, Masdi berkata, dia mula bekerja sebagai tukang kasut di pekan itu sejak pertengahan 2015.

“Ayah saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah rendah manakala ibu pula suri rumah.

“Saya adalah anak kedua daripada empat beradik. Saya hanya mempunyai pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sudah memohon pelbagai jenis pekerjaan, tetapi gagal.

“Jika ada pun, gaji ditawarkan tidaklah sebanyak dengan apa yang mampu saya peroleh dengan kerja ini.

“Dengan gaji sekarang, sekurang-kurangnya saya boleh membantu keluarga,” katanya kepada Harian Metro, di sini, baru-baru ini.

Baginya, dia tidak berasa malu melakukan kerja sedemikian, meskipun ada yang memandang rendah pekerjaannya.

“Ramai kagum dengan saya, apatah lagi saya adalah orang pertama membuka perniagaan membaiki kasut di pekan ini.

“Saya membuktikan bahawa rezeki ada di mana-mana asalkan dilakukan dengan cara yang betul dan tidak menyusahkan orang lain.

“Saya tidak kisah dengan apa yang orang lain katakan tentang saya. Saya selesa bekerja di bawah pokok ini kerana suasananya yang redup.

“Namun jika hujan saya akan berpindah ke perhentian bas,” katanya.

Masdi hanya mengenakan bayaran serendah RM8 hingga RM12 bagi perkhidmatan yang diberikan termasuk menampal tapak kasut.

Masdi berkata, dia bersyukur pendapatannya dapat digunakan untuk menampung keperluan dia dan keluarga.

“Sekurang-kurangnya, saya berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain,” katanya. Menurutnya, dia menerima lebih 10 kasut untuk dibaiki setiap hari dan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelajar, guru, jururawat dan penduduk kampung sekitar Kiulu.

Pelanggannya, Arikchely Arika, 16, menyifatkan hasil kerja tukang kasut itu sangat memuaskan.

“Ini adalah kali kedua saya menghantar kasut bola untuk dibaiki Masdi. Menariknya, dia boleh menjahit sepasang kasut dalam masa 30 hingga 40 minit menggunakan tangan.

“Kadang-kadang apabila kami memberi wang RM8, dia akan mengembalikan RM3 disebabkan kami pelajar sekolah.

“Tukang kasut (Masdi) berpesan simpan wang itu untuk tambang bas pulang ke rumah dan dia selalu menasihatkan kami supaya belajar bersungguh-sungguh”, katanya.

MASDI menjahit kasut pelanggannya di Pekan Kiulu.

PAPAN tanda perkhidmatan membaiki kasut yang disediakan Masdi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.