MAKAN ANGIN KERETA MINI

Harian Metro - - Setempat - Amrullah Abdul Karim am@hmetro.com.my

 Warga emas rasai pengalaman menaiki kenderaan klasik keliling pekan

“Ini julung kali saya menaiki kereta klasik, saya seronok dibawa sekitar pekan,” kata Bedah Abdullah, 70, berkongsi kegembiraannya dapat menaiki Mini Austin MK3 mengelilingi pekan ini, baru-baru ini.

Pengalaman ceria itu turut dikongsi hampir 20 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terlantar yang mendiami Rumah Ehsan (RE), di sini, menerusi program Berkongsi Rezeki dan Kasih Sayang bersama Warga Emas RE anjuran TASKA Comel Niya dan Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia (KPKMM).

Ternyata warga emas dan OKU yang sebahagian besarnya berusia 37 tahun hingga 90 tahun teruja dan gembira dengan program disertai.

Menurut Bedah, sejak menghuni RE, dia tidak pernah berjalan jauh.

“Saya tidak dapat berjalan sendiri dan perlu sentiasa berkerusi roda tetapi apabila dibawa menaiki kereta ini, saya sangat seronok,” katanya.

Norlia Said, 52, gembira selepas dibawa hingga ke kawasan Empangan Sungai Selangor, Pertak.

“Saya menghuni RE sejak lima tahun lalu dan tidak keluar kerana ketiadaan kenderaan.

“Ini kali pertama saya dibawa keluar. Pengalaman ini cukup menarik,” katanya.

Ahli Jawatankuasa KPKMM Effendy Shohaili, 45, berkata, program berkenaan bertujuan meraikan warga RE selain menggamit nostalgia warga emas menaiki kereta mini dan klasik.

“Kami sepakat mengunjungi RE untuk meraikan seterusnya menggembirakan penghuninya,” katanya.

Sementara itu, Pengetua RE Mariani Mohamed Saad melahirkan penghargaan terhadap usaha KPKMM dan TASKA Comel Niya yang menganjurkan program berkenaan. “Ia menghiburkan 120 penghuni dan saya berharap lebih ramai tampil menjalankan pelbagai program di sini,” katanya.

WARGA emas dibawa menaiki kereta Mini Austin MK3 meronda Bandar Kuala Kubu Bharu menerusi program Berkongsi Rezeki dan Kasih Sayang bersama Warga Emas RE.

KERETA mini yang membawa warga emas mengelilingi Bandar Kuala Kubu Bharu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.