RESIT TAK BOLEH PAKAI

Harian Metro - - Setempat - Siti Salmiah A Hamid salmiah@hmetro.com.my

Ramai gagal dapat pelepasan derma akibat penerima tidak penuhi syarat

Ramai pembayar cukai gagal mendapat pelepasan cukai derma berikutan organisasi dan institusi yang menerima sumbangan itu dikesan tidak memenuhi syarat kelulusan ditetapkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Jabatan Pungutan Hasil LHDN Mohd Idris Mamat berkata, kegagalan mematuhi syarat itu menyebabkan resit dikemukakan pembayar cukai terbabit terpaksa ditolak mereka.

“Penderma hanya mendapat pelepasan cukai derma diberikan sekiranya pihak institusi atau organisasi memenuhi syarat kelulusan antaranya menghantar penyata kewangan tahunan yang diaudit dan mengemas kini alamat dan maklumat ahli jawatankuasa.

“Masih ramai penderma tertipu apabila mereka diberi resit yang tidak boleh digunakan untuk pelepasan cukai kerana tidak mengetahui pihak berkenaan dibatalkan kelulusannya akibat tidak mengikut syarat LHDN,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2017 Hasilian Bersama Rumah Jagaan & Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Pulau Meranti, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Kelulusan & Pemantauan LHDN Yaacob Othman dan Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDN Rozina Shaik Osman Merican.

Pada majlis itu, LHDN menyampaikan barangan elektrik dan ubat-ubatan selain barang keperluan seperti minyak masak dan lampin pakai buang serta wang tunai berjumlah RM10,000 kepada rumah jagaan berkenaan.

Menurut Mohd Idris, sehingga kini 1,963 institusi dan organisasi diluluskan dan masih aktif untuk menjalankan aktiviti kutipan derma.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.