Sedekad diganggu lalat

Harian Metro - - Setempat -

Manjung: Sudah hampir 10 tahun penduduk kampung Padang Serai, Beruas di sini, hidup dalam keadaan tidak selesa apabila diganggu lalat sehingga menyukarkan mereka menjalani aktiviti harian.

Masalah serangga itu dipercayai berpunca dari ladang ternakan ayam di kampung berkenaan yang didakwa berhampiran rumah penduduk.

Seorang penduduk, Chek Mah Yahya, 69, mendakwa, pelbagai usaha sudah dilakukan penduduk bagi mengatasi masalah itu, namun tiada jalan penyelesaian.

Menurutnya, jumlah lalat semakin bertambah setiap hari terutama waktu puncak ketika ayam dibawa keluar dari reban.

“Kami dah tak tahu nak buat macam mana. Walaupun kami cuci lantai hampir setiap hari, lalat masih banyak dan saya simpati lihat anak bongsu (Nurul Izatina Herda Abdul Rani, 26) yang tidak selesa pantang bersalin kerana rumah dipenuhi lalat.

“Malah, sepanjang 19 hari berpantang cucu terpaksa diletakkan dalam kelambu kerana tidak mahu dihurung lalat biarpun cuaca panas,” katanya.

Azizah Baharudin, 56, berkata, kehadiran serangga itu bukan saja pada waktu siang, malah pada waktu malam sehingga mereka malu untuk menjemput saudara-mara dari luar datang ke rumah mereka.

“Pada musim banjir, situasi lebih mencabar dan memang kurang selesa dan ia menambahkan kerunsingan memikirkan keadaan rumah.

“Justeru, saya berharap pihak berkaitan dapat melihat dan menyelesaikan masalah ini demi kesejahteraan penduduk kampung ini,” katanya.

AZIZAH menunjukkan kertas pelekat yang penuh dengan lalat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.