‘KAMI TERHARU’

Harian Metro - - Setempat - Ahmad Rabiul Zulkifli am@hmetro.com.my

 Remaja Rohingya sertai program solat hajat bersama masyarakat setempat di Terengganu

“Saya terharu apabila rakyat di negara ini prihatin dengan nasib yang menimpa masyarakat kami di Myanmar,” kata Mohamad Khoi Mohd Sultan, 19.

Remaja berkenaan seorang daripada etnik Rohingya menetap di negeri ini ketika ditemui selepas turut menyertai solat hajat bagi memohon keselamatan masyarakat itu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (MAMBS), di sini, semalam.

Mohamad Khoi berkata, dia sudah menetap di negeri ini sejak tiga tahun lalu dan dalam tempoh itu dia yang bertanggungjawab menyara ahli keluarganya di Myanmar.

“Setiap bulan saya akan mengirimkan RM350 kerana semua ahli keluarga termasuk bapa (Mohd Sultan Zurah, 50) tidak dibenarkan bekerja dan keluar rumah.

“Abang saya (Jadin, 28) meninggal dunia tahun lalu kerana dipancung tentera Myanmar selepas didakwa bekerja sebagai pembantu kedai.

“Sejak peristiwa itu, saya berasa takut pulang ke Myanmar walaupun sangat merindui ahli keluarga terutama ibu (Shurbi Motolob, 50),” katanya yang bekerja kontrak binaan.

Menurutnya, dia berharap penindasan yang berlaku terhadap etnik Rohingya di Myanmar akan berakhir dan mereka boleh menjalani kehidupan harian dengan tenteram.

“Harapan saya supaya rakyat di negara ini berterusan memberi sokongan dan mendoakan keamanan kami di Myanmar.

“Segala kebaikan dan keprihatinan masyarakat di negara ini terhadap etnik Rohingya sangat besar dan hanya Allah yang mampu membalasnya,” katanya.

Seorang lagi etnik Rohingya, Ismail Khusik, 30, berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat itu.

“Penganjuran solat hajat dan kutipan derma yang dijalankan sudah cukup menggambarkan keprihatinan masyarakat di negara dan negeri ini kepada kami,” katanya.

Seramai 350 jemaah di masjid berkenaan menyertai solat hajat diimamkan Syafiq Hakimi Ambak yang dianjurkan selepas solat Jumaat itu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada Rabu lalu meminta semua masjid di negeri itu menganjurkan solat hajat memohon keselamatan masyarakat Rohingya yang dizalimi dan ditindas di Myanmar.

Mesyuarat Exco kerajaan negeri juga bersetuju untuk melancarkan Tabung Khas Rohingya selain keperluan menghantar Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) ke Bangladesh bagi membantu masyarakat berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.