Harian Metro

Ahli keluarga suspek perlu diberi sokongan moral

-

Kuala Lumpur: Ahli keluarga tujuh remaja yang ditahan berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h perlu diberi semangat dan sokongan moral.

Aktivis Sosial Kanak-kanak (NGI), Syed Azmi Alhabshi berkata, pihaknya bimbang ahli keluarga remaja terbabit menghadapi tekanan akibat penahanan suspek.

Dia yang sudah lapan tahun terbabit dalam aktiviti sosial berkata, pihaknya bersama beberapa rakan aktivis yang lain sedia membantu memberi kaunseling dan sokongan moral kepada keluarga remaja terbabit.

Menurutnya, keluarga suspek mungkin berdepan pelbagai tekanan ketika ini akibat salah laku anak atau adik-beradik mereka.

“Keluarga remaja terbabit menjadi mangsa keadaan ketika ini. Kita kena bagi ruang kepada ahli keluarga remaja yang terbabit dengan salah laku ini untuk mereka hadam dulu apa yang berlaku ini.

“Kita tidak pasti ahli keluarga suspek dapat terima keadaan yang berlaku sehingga takut untuk berdepan dengan masyarakat luar.

“Sekiranya ini berlaku, kita bimbang ibu bapa remaja terbabit tidak dapat mencari rezeki bagi menampung nafkah anak mereka yang lain. Malah, adik-beradik suspek yang masih belajar juga mungkin tidak dapat menumpukan perhatian untuk pelajaran,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia