PERSATUAN MOHON MAAF

Harian Metro - - Setempat - Rudy Syareme Sheriffudin am@hmetro.com.my

Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Sungai Pinang, di sini, mendesak tiada lagi pihak cuba mengapi-apikan isu perarakan dan pukulan gendang dilakukan sebuah persatuan Cina di depan Masjid Makbul, Jalan Sungai Pinang selepas video berkenaan tular di media sosial sejak kelmarin.

Pengerusi Kariah Masjid Sungai Pinang Elias Che Amat berkata, desakan itu dibuat selepas wakil persatuan berkenaan hadir bertemu jawatankuasa Masjid Makbul, Jalan Sungai Pinang jam 6 petang kelmarin dan membuat permohonan maaf di atas kesilapan itu.

Menurutnya, pada pertemuan hampir sejam itu, pihaknya turut memberi teguran dan nasihat kepada persatuan berkenaan agar kejadian sama tidak berulang lagi di masa depan selain menggesa agar semua pihak menghormati agama satu sama lain.

Katanya, teguran itu amat perlu kerana semua pihak harus peka dan bersikap menghormati apabila membabitkan isu agama dan tidak perlu cuba mencetuskan suasana tidak tenteram atau kacau ganggu sehingga boleh menimbulkan pelbagai implikasi buruk jika tidak dibendung.

“Segala-galanya sudah diselesaikan dengan baik antara kedua-dua pihak dan selepas ini tidak perlu ada pihak cuba mencetuskan provokasi perkauman dan sebagainya.

“Mereka yang tidak ada kena mengena diminta tutup mulut dan tidak perlu campur tangan kerana ia bukan isu politik sehingga boleh mencetuskan konflik perkauman jika tidak dibendung,” katanya ditemui selepas solat Jumaat di masjid berkenaan, semalam.

Kejadian jam 8.30 malam Rabu lalu berlaku ketika jemaah sedang solat Isyak di Masjid Makbul, Jalan Sungai Pinang.

Ia membabitkan sekumpulan individu daripada persatuan Cina mengadakan perarakan keagamaan sambil bermain gendang di depan masjid berkenaan.

Berikutan kejadian itu, beberapa wakil daripada persatuan terbabit datang bertemu dengan Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Sungai Pinang dan memohon maaf di atas kejadian berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.