Kuih bakul Yaya lebar empayar

Harian Metro - - Setempat -

Kemaman: Hanya lapan bulan selepas perniagaan kuih bakulnya tular di laman sosial, gadis kurang upaya (OKU) itu kini melebarkan empayar syarikatnya dengan memulakan operasi di kilang baru bulan lalu.

Haziqah Nurul Huda Harun, 20, atau lebih mesra dengan panggilan Yaya berkata, beliau melabur RM150,000 menggunakan wang simpanan hasil perniagaan selama ini untuk kos operasi kilang di Bukit Kuang, Kemaman.

“Alhamdulillah, apabila beroperasi daripada kilang, pengeluaran kuih bakul dan kuih bulan Yaya lebih tersusun dan menghasilkan kuantiti lebih banyak berbanding ketika Yaya masih beroperasi di rumah dulu.

“Fokus ketika ini ialah Yaya mahu mendapatkan sijil pengesahan Makanan Selamat Tanggungjawab Industi (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Walaupun kuih bakul dan kuih bulan keluaran syarikat Yaya ini memang menggunakan bahan halal, Yaya tetap mahu mendapatkan sijil pengesahan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk lebih mudah menembusi pasaran halal dunia,” kata gadis lumpuh yang bergerak menggunakan kerusi roda itu, semalam.

Ketika ini, Yaya memfokuskan pengeluaran kuih bulan berikutan permintaan memberangsangkan dari dalam dan luar negara apabila purata pengeluarannya antara 40,000 hingga 60,000 kuih sebulan.

Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, beliau turut meningkatkan ilmu pemasaran dengan mendaftar sebagai pelajar di sebuah akademi pengiklanan laman sosial Facebook dan mendaftar kelas bimbingan seorang mentor usahawan terkenal.

“Selepas balik daripada kelas, jualan melonjak hampir lima kali ganda dan Yaya akan terus meningkatkan kemahiran untuk mencapai cita-cita Yaya menjadi usahawan Muslimah yang disegani.

“Alhamdulillah, daripada hanya tiga pekerja, kini Yaya mempunyai lapan pekerja yang dapat melancarkan lagi proses pembuatan dan pembungkusan kuih ini,” katanya.

Kecekalan Yaya mengharungi 1,001 cabaran dan ujian dunia perniagaan turut mendapat perhatian pelbagai pihak yang kagum dengan dirinya.

Yaya sering dijemput pelbagai institusi pendidikan seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Mara Seremban, dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur untuk perkongsian pengalaman dan kisah kejayaan. - BERNAMA

YAYA memberi tunjuk ajar kepada pekerjanya di kilang baru miliknya di Bukit Kuang, KEmaman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.