Terengganu bolot empat

Harian Metro - - Tengah - Norhadiani Baharom yanie@hmetro.com.my

Latihan pusat seminggu bantu kontinjen negeri muncul juara KITH 2017

Latihan pusat seminggu sebelum pertandingan membantu kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan pertandingan Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) 2017 yang dianjurkan selama tiga hari sehingga semalam.

Melalui tujuh kategori yang dipertandingkan, kontinjen negeri itu mengungguli kategori Explorace & Kuiz, Rekacipta Inovasi, Cabaran Kenderaan Solar dan Green Technology Challenge.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada majlis penutup

KITH 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kontinjen negeri yang turut diberikan pengiktirafan pada majlis itu adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan; Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Johor, Perak, Sarawak, Kedah, Melaka dan Pahang.

Semua peserta berusia di antara 13 hingga 17 tahun.

Penolong Pengarah Kokurikulum Akademik Jabatan Pendidikan Terengganu merangkap Ketua Kontinjen Noor Ashikin Hashim berkata, pihaknya amat berbangga dengan pencapaian pasukan yang merangkul empat daripada tujuh kategori dipertandingkan.

Noor Ashikin berharap supaya kejuaraan itu dapat dikekalkan pada tahun depan.

“Tahun ini, sebanyak tujuh sekolah dari seluruh daerah di Terengganu mengambil bahagian dalam KITH.

“Setiap kategori membabitkan tiga peserta dan semua peserta menjalani latihan pusat seminggu sebelum pertandingan sebagai persediaan.

“Alhamdulillah, kejuaraan berpihak kepada kami dan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan terutama pihak jabatan,” katanya.

Sementara itu, Maximus berkata, kolaborasi secara berterusan sebegini membuktikan bahawa pihak kementerian sentiasa menyokong penuh inisiatif ‘Strategi Lautan Biru Kebangsaan’ atau NBOS, di mana agensi terbabit akan bekerjasama dengan merancang dan melaksana aktiviti serta program untuk memupuk kesedaran rakyat terhadap kepentingan teknologi hijau.

“Pembabitan dan sumbangan semua pihak amat penting dalam menjayakan dasar Teknologi Hijau Negara, khususnya dalam sektor pengurusan tenaga dan air, seterusnya melahirkan komuniti hijau untuk merealisasikan komitmen kerajaan mengurangkan sebanyak 45 peratus jejak karbon menjelang 2030,” katanya.

MAXIMUS (tengah) bergambar bersama kontinjen negeri Terengganu di Kuala Lumpur Convention Centre.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.