Harian Metro

‘Kami perlu bantuan polis’

-

Manila: Ketua agensi antinarkot­ik Filipina semalam memberi amaran penarikan polis dari kempen dadah negara itu mampu memberi kesan terhadap usaha membantera­s kegiatan berkenaan disebabkan unitnya kekurangan tenaga kerja.

Ketua Agensi Penguat Kuasa Dadah (PDEA) Aaron Aquino berkata, dia cuma mempunyai sedikit kakitangan dan bajet berbanding yang dimiliki polis seterusnya mengharapk­an keputusan Presiden Rodrigo Duterte supaya agensinya bertanggun­gjawab atas semua operasi bukan sesuatu yang berpanjang­an.

“Saya tahu orang ramai menyimpan harapan tinggi, tetapi saya meminta anda semua faham kami berdepan pelbagai kekangan. Saya harap ini bukan untuk jangka panjang kerana kami amat memerlukan polis,” katanya.

Duterte mengeluark­an memorandum pada Selasa lalu mengarahka­n polis tidak lagi terbabit dalam operasi berkenaan sebaliknya memainkan peranan selaku pemantau sebagai ‘penghalang.’

Kelmarin, pihak berkuasa berkata, strategi kini berubah untuk menyasarka­n sindiket dadah besar.

Lebih 3,900 orang terbunuh sejak operasi antidadah polis dimulakan, 15 bulan lalu. Polis mendakwa semua yang mati akibat melawan seterusnya menafikan dakwaan aktivis bahawa mereka sesuka hati membunuh suspek tanpa melalui proses keadilan.

Sementara itu, Aquino berkata, dia merancang meminta bajet lebih besar untuk menambah 1,000 hingga 1,500 ejen setahun sehingga 2022.

“Kami tidak mungkin dapat melawan dadah dengan kakitangan yang begitu sedikit,” katanya.

PDEA cuma mempunyai 2,000 kakitangan berbanding 175,000 anggota polis di seluruh negara. - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia