Harian Metro

TAWAR RM800,000

- Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz rnorain@hmetro.com.my

Wanita warga Vietnam cuba rasuah dua pegawai APMM

tidak ambil tindakan ke atas sembilan bot miliknya

Seorang wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan cuba memberi suapan RM800,000 kepada dua Pegawai Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas sembilan bot miliknya yang melakukan pelbagai kesalahan pada 5 November lalu.

Tertuduh Tran Thi Mai, 41, yang beralamat di Bukit Sekilau di sini, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali dan mengaku tidak bersalah.

Dia didakwa menawarkan wang tunai kepada pegawai Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjadi orang tengah untuk diserahkan kepada Kapten Nurul Hizam Zakaria dan Kapten Amran Daud sebagai suapan kepada kedua-dua kapten terbabit untuk melepaskan sembilan bot nelayan Vietnam yang ditahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Dia melakukan kesalahan itu di Hotel Zenith pada jam 9.40 pagi 5 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyn 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam G K Sritharan.

Mohamad Fadhly memohon mahkamah tidak membenarka­n jaminan ke atas tertuduh yang bukan warganegar­a dan tidak berstatus penduduk tetap.

“Siasatan SPRM juga mendapati tertuduh ialah pemilik syarikat pengusaha bot nelayan dan dikhuatiri jika diberikan jaminan, tertuduh melarikan diri bukan dengan menaiki kapal terbang, tetapi melalui perairan.

“Bagaimanap­un, pihak kami berharap jika mahkamah mahu membenarka­n jaminan ia harus mengambil kira nilai rasuah iaitu RM800,000 dan pihak pendakwaan memohon supaya jumlah jaminan ditetapkan RM1 juta dengan syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Peguam tertuduh merayu supaya jaminan dibenarkan kerana anak guamnya tidak akan melarikan diri memandangk­an dia memiliki harta di Malaysia selepas menyertai program

yang mewajibkan pemilikan harta di negara ini.

“Saya difahamkan wang RM800,000 itu sebenarnya untuk membeli bot, bukan sebagai wang rasuah. Apa yang berlaku pada masa ini adalah spekulasi yang belum dibuktikan.

“Sebagai ejen membeli bot, tertuduh memperoleh pendapatan bulanan antara RM4,000 hingga RM5,000. Saya difahamkan akaun tertuduh dibekukan dan dia tidak mampu membayar sehingga RM1 juta. Tertuduh hanya mampu membayar jaminan RM30,000,” katanya.

Dazuki membenarka­n tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin warganegar­a Malaysia bersama syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis Kuantan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh 11 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia