VERSI 11 NEGARA

Harian Metro - - Setempat -

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) boleh diteruskan tanpa Amerika Syarikat (AS) sambil menambah, semua 11 negara anggota boleh memuktamadkan perjanjian perdagangan itu di sini.

“Saya yakin dan agak optimistik kita boleh memuktamadkan perjanjian itu. Sebelas negara anggota yang diketuai Jepun akan berusaha untuk menghasilkan versi kita.

“Banyak kemajuan yang dicatatkan. Menteri-menteri dan pegawai kita telah bekerja keras dan kita mengadakan mesyuarat yang berakhir sehingga jam 3 pagi hari ini,” kata Najib pada sesi panel di Sidang Kemuncak CEO Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2017, di sini, semalam.

Mesyuarat TPPA dijadual disambung semula hari ini.

“Sudah tentulah, ada proses yang perlu diselesaikan, tetapi sekurang-kurangnya kita berjaya menyelamatkan perjanjian perdagangan bebas yang penting bagi masa depan APEC,” katanya.

Rundingan TPPA diadakan di luar acara Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC yang sedang berlangsung sekarang sejak 6 November lalu.

“TPPA sepatutnya menjadi asas penting ke arah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN, dalam mentransformasikan keseluruhan rantau menjadi kawasan perdagangan bebas,” katanya. – BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.