Sesi sekolah terpaksa ditangguh

Harian Metro - - Setempat -

Sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nyalau di Samalaju dan SK Kuala Kebulu di Kemena, dekat sini, terpaksa ditangguhkan akibat banjir kilat, semalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu berkata, sekurang-kurangnya 200 murid dibenarkan pulang jam 10 pagi selepas kawasan sekolah dinaiki air separas kira-kira 0.5 meter.

“Banjir turut menjejaskan Kampung Nyalau Tengah dan Kampung Hulu Nyalau di Samalaju, bagaimanapun tiada pemindahan penduduk dibuat.

“Hujan

lebat berterusan menyebabkan banjir kilat, namun ia masih dalam keadaan terkawal.

“Bilik gerakan di Pejabat Daerah Samalaju juga sudah diaktifkan sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, paras air mulai naik berikutan hujan berterusan, sejak awal pagi kelmarin sekali gus menyebabkan kawasan rendah terdedah dengan banjir kilat.

“Beberapa kawasan di Miri turut terjejas seperti Taman Tunku, Bekenu dan Senadin selepas hujan lebat berterusan lima jam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.