14 keluarga dipindah

Harian Metro - - Setempat -

Hujan lebat berterusan melebihi dua jam menyebabkan 40 mangsa daripada 14 keluarga di Sri Gading, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Pusat Khidmat Penyayang, Air Hitam, dekat sini, selepas rumah mereka dilanda banjir, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, mangsa dipindahkan pada jam 4 pagi selepas kediaman mereka dinaiki air akibat limpahan dari sistem perparitan berdekatan.

Katanya, antara kawasan terjejas ialah Lorong Budin, Kilometer 31.5 Jalan Batu Pahat-Air Hitam, Kampung Parit Khalil dan Kampung Parit Samion.

Dalam pada itu, satu PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Nam Heng, Johor Bahru, kelmarin, yang menempatkan lapan mangsa.

Katanya, mangsa adalah dari kawasan yang terjejas banjir di Kampung Pasir, Permatang, Batu 20 Kampung Sungai Tiram dan Kampung Paya, Nam Heng.

“Pemantauan paras air diteruskan oleh semua pihak di lokasi kejadian berikutan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.