Terpukau untung RM3,600 sebulan

Harian Metro - - Setempat -

Kuala Lumpur: “Saya ditawarkan keuntungan pelaburan 12 peratus atau RM3,600 sebulan bagi jumlah pelaburan RM30,000 diberikan kepada syarikat itu,” ujar mangsa penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing atau dikenali sebagai forex yang aktif sejak 2013.

Dia yang mahu dikenali sebagai Johan, 40-an berkata, kebanyakan pelabur diberi pilihan melabur dengan jumlah minimum sebanyak RM3,000 hingga RM200,000 bagi setiap individu.

Menurutnya, tawaran pulangan lumayan sehingga 12 peratus setiap bulan menyebabkan ramai mangsa teruja dan percaya berikutan suspek membabitkan golongan VIP bergelar Datuk.

“Saya mula melabur dengan syarikat terbabit pada Julai 2016 melalui transaksi dilakukan melalui ejen syarikat itu,” katanya.

Katanya, dia mengenali ejen terbabit melalui rakannya yang turut membuat pelaburan dengan syarikat berkenaan sejak 2014.

“Rakan memaklumkan pelaburan itu memberi keuntungan tinggi dalam tempoh singkat dengan mengemukakan beberapa dokumen sebagai bukti mereka menerima keuntungan dijanjikan menyebabkan saya menyertainya.

“Saya diperkenalkan dengan seorang lelaki tempatan yang mendakwa sebagai ejen syarikat terbabit dan diminta menyertai seminar diadakan di sebuah hotel terkemuka,” katanya.

Johan yang juga ahli perniagaan berkata, dia mula memasukkan wang berjumlah RM30,000 ke akaun milik ejen berkenaan untuk pelaburan.

“Sejurus selepas transaksi pemindahan wang selesai, ejen berkenaan turut meminta saya menandatangani perjanjian bagi pelaburan terbabit kononnya untuk menjamin wang kapital diberikan kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, dia mula menyedari ditipu apabila tidak mendapat sebarang pulangan daripada pelaburan dibuat sejak Ogos hingga Disember 2016.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.