Bekas wartawan hidap barah meninggal dunia

Harian Metro - - Setempat -

Seremban: Bekas wartawan Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST), Khalil Md Zain, 66, meninggal dunia akibat barah limfoma tahap empat di rumahnya di Taman Bukit Kelana, Senawang di sini, tengah malam semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12 tengah malam di sisi isterinya, Jamilah Aziz, 63, dan lapan anak mereka berusia 19 hingga 41 tahun.

Anak sulungnya, Johari, 41, berkata, Allahyarham disahkan menghidap barah limfoma pada September tahun lalu dan tahap kesihatannya merosot dari semasa ke semasa.

“Bulan lalu, doktor mengesahkan barahnya sudah berada di tahap empat dan rawatan kemoterapi di Hospital Ampang, Selangor, tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang positif.

“Arwah yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang meminta untuk pulang ke rumah semalam (kelmarin).

“Selepas menunaikan solat

Maghrib malam tadi (semalam), keadaan arwah semakin lemah sebelum tidak sedarkan diri pada jam 9.30 malam. Doktor kemudiannya mengesahkan arwah meninggal dunia jam 12 tengah malam,” katanya ditemui selepas majlis pengebumian bapanya di Tanah Perkuburan Islam Senawang.

Lebih 50 ahli keluarga dan kenalan arwah turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham pernah berkhidmat dengan BH, NST dan TV3 sebelum bersara kira-kira 10 tahun lalu.

ISTERI Allahyarham menyiram air di pusara suaminya, Khalil yang meninggal dunia tengah malam tadi akibat kanser limfoma.

ALLAHYARHAM Khalil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.