Bunuh kosmetik tak mustajab

Harian Metro - - Setempat - Faliq Lajim hmetroshahalam@hmetro.com.my

 Peniaga alat solek di pasar malam mati dikelar kumpulan individu tak puas hati

Tidak puas hati berikutan produk dijual tidak memberikan hasil memuaskan dikatakan menjadi punca seorang peniaga kosmetik ditetak kumpulan individu di tapak Pasar Malam Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, pada 5 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada Jun tahun lalu itu, mangsa bersama rakan dikatakan berniaga barangan kosmetik di pasar malam berkenaan.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba kumpulan lelaki Indonesia daripada etnik Madura dipercayai berkunjung ke tapak perniagaan ketika mangsa mempromosikan barangan kosmetik berkenaan.

“Ketika itu, berlaku pertengkaran apabila kumpulan itu mendakwa barangan yang dijual mangsa tidak mujarab menyebabkan berlaku pergaduhan. Polis difahamkan, mangsa tidak lagi berniaga di kawasan itu selepas insiden pada Jun tahun lalu.

“Bagaimanapun, pada 5 Januari lalu mangsa kembali semula berniaga di tapak pasar malam berkenaan dan sekali lagi berlaku pergaduhan yang menyebabkan mangsa mati dibunuh,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, polis menahan 14 suspek termasuk empat wanita dengan 10 daripada mereka dituduh di mahkamah manakala empat lagi dibebaskan.

“Kami masih mencari dua lelaki Indonesia berusia 20-an bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh itu.

“Individu terbabit dikenali Jumadi dan Gandar, berperwatakan kurus, rendah dan berkulit cerah.

“Polis meminta dua individu ini tampil membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.05 malam, mangsa, Mohd Nor Syazrin Rasdi, 29, bersama seorang wanita tempatan dan dua pekerja warga asing didatangi kumpulan individu ketika berniaga barangan kosmetik di tapak pasar malam berkenaan.

Mangsa dikelar di leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang pekerjanya yang cuba membantu cedera di kepala.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.