Tahun Baru Cina kukuh hubungan saudara, sahabat

Harian Metro - - Setempat -

Kuala Lumpur: Perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut masyarakat Tionghua Jumaat ini menjadi amalan tradisi bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan dan persahabatan segenap lapisan generasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sambutan perayaan menjadi simbol penyatuan bukan saja antara kaum Cina, malah disambut segenap masyarakat yang turut sama meraikan kemeriahan Tahun Anjing kali ini.

“Inilah masa untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan di samping memupuk nilai-nilai murni di kalangan generasi pelapis masa hadapan.

“Bagaimanapun, saya percaya sifat hormat-menghormati sudah tertanam dalam diri setiap rakyat sejak negara kita mencapai kemerdekaan.

“Kita hidup dengan aman harmoni tanpa mengira bangsa mahupun kepercayaan sekali gus berjaya menonjolkan semangat 1Malaysia yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata, perayaan kali ini menjadi peringatan pada setiap rakyat yang memiliki perbezaan tradisi dan perspektif tersendiri yang menjadikan masing-masing unik serta dinamik.

“Sesungguhnya Malaysia adalah tanah air tercinta dan setiap lapisan rakyat memainkan peranan penting terhadap pembangunan negara termasuk kaum Cina yang banyak menyumbang dari segi ekonomi mahupun budaya.

“Saya akan pastikan tiada rakyat yang dipinggirkan, malah kesinambungan generasi akan datang lebih terjamin dengan permuafakatan rakyat yang menjadi simbol kekuatan negara,” katanya.

Saya percaya sifat hormat-menghormati sudah tertanam dalam diri setiap rakyat sejak negara kita mencapai kemerdekaan” Najib

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.