Kongsi kejayaan bersama

PM tekad terus bantu rakyat selaras dengan peningkatan ekonomi negara

Harian Metro - - Setempat - Abdul Razak Raaff dan T N Alagesh news@nstp.com.my

Kerajaan akan terus berusaha berkongsi kejayaan dan kekayaan dengan rakyat, bukannya penderitaan dan kemiskinan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kejayaan negara mengurus ekonomi dan meningkatkan pendapatan, membolehkan ia dikongsi dengan rakyat menerusi pelbagai sumbangan dan bantuan kepada semua kaum.

Malah, beliau berkata, badan penarafan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bloomberg dan Bank Dunia turut mengiktiraf Malaysia berada di landasan ekonomi berjaya, berikutan mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus pada tahun lalu.

“Mereka yang cakap ini adalah pakar bahawa ekonomi negara diurus dengan baik dan berkembang kepada kekuatan yang lebih baik.

“Ini bukan bermakna negara tidak mempunyai orang miskin namun jika kita mempunyai pendapatan ekonomi yang semakin meningkat, maka dapat kita kongsi dengan rakyat.

“Di Malaysia, kita bukan saja berkongsi kekayaan secara adil kepada semua kaum tetapi juga berkongsi politik seperti diamalkan Barisan Nasional (BN) dan kongsi sambutan raya,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian pada Majlis Kongsi Kasih sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2018 Bersama Komuniti Pekan, di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, semalam.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun.

Seramai 3,560 golongan kurang berpendapatan rendah dalam Parlimen Pekan menerima sumbangan makanan dan wang tunai.

Sementara itu, Najib menjelaskan, BN tidak berpolitik atas nama satu-satu kaum tetapi mengambil iktibar dan hakikat bahawa Malaysia adalah negara berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Bila ada semangat untuk berkongsi antara satu sama lain maka kita dapat membentuk satu nilai utama yang boleh kita hayati untuk membentuk negara yang kita idamkan.

“Kita juga berkongsi kekayaan kerana tidak mahu menjadi negara yang tempang dan tidak adil apabila hanya satu kaum sahaja yang bolot kekayaan.

“Apabila kita dapat wujudkan masyarakat yang adil dan saksama serta negara yang aman maka rakyat juga dapat berkongsi menyambut pelbagai perayaan kaum secara harmoni,” katanya.

NAJIB (tengah) bersama Rosmah beramah mesra

dengan masyarakat berbilang kaum pada Majlis Kongsi Kasih sempena Tahun Baru Cina di Dewan

Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.