Rendang ayam Tahun Baru Cina

Harian Metro - - Addin - Bersama Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Tahun Baru Cina adalah perayaan tradisional terbesar di Asia. Ia juga dikenali sebagai Pesta Musim Bunga (Chun Jie) atau Tahun Baru Lunar.

Perayaan tradisi itu berlangsung sehingga hari ke-15 bulan pertama mengikut kalendar Cina yang dikenali sebagai Chap Goh Mei di Malaysia.

Tahun Baru Cina turut menjadi perayaan utama di negara di Asia Tenggara. Malah, perayaan itu sangat meriah dirayakan di Korea dan Vietnam.

Antara aktiviti penting dalam sambutan Tahun Baru Cina ialah makan malam ‘reunion’ atau lebih dikenali sebagai makan besar.

Seperti perayaan lain, Tahun Baru Cina adalah masa untuk ahli keluarga bertemu semula untuk menikmati makanan istimewa tradisi Cina.

Semua ahli keluarga akan berkumpul di rumah ibu bapa mereka sambil menikmati makan malam besar. Ia memberi tanda permulaan tahun baru selain dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan.

Makan besar diadakan pada malam raya di mana semua ahli keluarga makan bersama di meja bulat. Golongan muda menghormati yang lebih tua dengan menjemput mereka memulakan makan terlebih dahulu.

Sebagai seorang berbangsa Cina yang beragama Islam, sambutan Tahun Baru Cina tetap dirayakan bersama keluarga kerana perayaan itu adalah warisan budaya bangsa.

Tidak ada aktiviti ritual khusus dalam sambutan seperti sembahyang khas. Bagi yang beragama Tao atau Buddha akan melakukan upacara sembahyang itu mengikut ajaran masingmasing sebagai tanda kesyukuran dan mengingati nenek moyang.

Bagi Cina Muslim, perayaan itu memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan adik-beradik dan saudara-mara terdekat mereka.

Perbezaan agama dan kepercayaan bukannya halangan untuk tidak dapat bersama, malah kepelbagaian itulah memperlihatkan keindahan Islam.

Ia sekali gus menolak salah faham mengenai ajaran Islam. Islam meraikan kepelbagaian adat dan budaya. Kewujudan bersama diterima baik dalam Islam.

Selagi budaya itu tidak bertentangan dengan syariat Islam, ia masih boleh diamalkan.

Bagi Cina

Muslim yang berkahwin campur sama ada dengan pasangan berketurunan Melayu, India atau lainlain bangsa, mereka dapat menikmati dan mengenali lebih dekat kepelbagaian makanan, adat, budaya dan bahasa Cina.

Jauh sekali mencerca ataupun memburukburukkan bangsa, adat dan kepercayaan orang lain. Tidak menghairankan sekiranya rendang ayam juga menjadi menu Tahun Baru Cina.

Ibu kepada seorang sahabat yang juga graduan PhD saya, walaupun keluarga mereka semuanya berbangsa Cina dan tidak ada yang kahwin campur namun menu utama perayaan Tahun Baru Cina pasti ada rendang ayam.

Inilah keunikan masyarakat majmuk di Malaysia. Berhubung keunikan makanan masyarakat Cina Muslim, sudah tentu mereka akan berusaha mencari masakan Cina yang halal.

Bukan mudah untuk membuat sesetengah makanan yang memang jarang dijumpai. Inovasi perlu supaya masakan asal tidak banyak berubah rasa walaupun menggunakan ramuan berbeza tetapi halal.

Antara makanan yang sinonim dengan perayaan itu adalah ayam stim cicah halia dan cili merah hidup tumbuk. Bagi masyarakat keturunan Hakka pula, makanan istimewa mereka ‘Kiu Nyuk’ dan ‘Ngiong Tiu Fu’ (dikenali juga sebagai yong taufu).

Bagaimanapun, dengan adanya beberapa restoran Cina Muslim seperti Restoran Mohd Chan,

Haji Sharin Low, Homst, Norazlina Chong dan beberapa lagi, bukan saja Cina Muslim dapat melepaskan ‘rindu’ masakan asli dan tradisional Cina, tetapi seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati keunikan rasa masakan Cina yang halal.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor Jabatan Kimia di Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.